WASHINGTON: Tarif global yang disemak semula oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bermula semalam pada kadar 10 peratus dan bukannya 15 peratus.
Pada Jumaat, selepas Mahkamah Agung membatalkan sebahagian besar agenda tarif Trump, presiden itu mengumumkan bahawa beliau akan segera melaksanakan tarif rata 10 peratus ke atas semua rakan dagang menggunakan undang-undang perdagangan yang berbeza.
Sehari kemudian, Trump menulis di media sosial miliknya, Truth Social bahawa berkuat kuasa serta-merta beliau akan menaikkan tarif seluruh dunia daripada 10 peratus kepada 15 peratus yang dibenarkan dan telah diuji dari segi undang-undang.
Berdasarkan undang-undang perdagangan yang kini dirujuk oleh pentadbiran itu, yang dikenali sebagai Seksyen 122, tarif sehingga 15 peratus boleh dilaksanakan dengan cepat, tetapi hanya sehingga 150 hari.
Beberapa jam sebelum tarif menyeluruh itu dijadual berkuat kuasa, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menghantar memo memaklumkan pengimport bahawa kadar tersebut pada mulanya ialah 10 peratus dan akan dikenakan ke atas setiap negara bagi tempoh 150 hari, melainkan dikecualikan secara khusus bermula pukul 12.01 pagi waktu tempatan semalam.
Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan kepada laman berita NBC News bahawa mesej kepada pengimport itu adalah tepat.
Tarif global itu akan bermula pada kadar 10 peratus, kata pegawai tersebut. Namun pentadbiran Trump sedang berusaha menaikkannya kepada 15 peratus melalui perintah berasingan yang perlu ditandatanganinya.
Pegawai itu bagaimanapun tidak menyatakan bila tarif 15 peratus itu akan dilaksanakan.
Tarif baharu Trump akan dikenakan ke atas import bernilai AS$1.2 trilion (RM5 trilion) setahun atau kira-kira 34 peratus daripada jumlah keseluruhan barangan yang diimport, kata Erica York, naib presiden dasar cukai persekutuan di Tax Foundation.
“Tarif Trump itu bersamaan dengan peningkatan cukai purata sebanyak AS$1,000 (RM3,897) bagi setiap isi rumah di Amerika pada 2025.
“Susulan tarif global Trump yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa diisytiharkan tidak sah, tarif baharu dan sedia ada beliau masih dijangka mengakibatkan beban isi rumah sebanyak AS$700 (RM2,700) pada 2026,” katanya. – AGENSI/AFP










