Emas fizikal, akaun emas: Pelaburan mana harus dipilih

Emas fizikal, akaun emas: Pelaburan mana harus dipilih

EMAS menjadi pilihan pelaburan tatkala ketidaktentuan pasaran global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia kewa­ngan yang sentiasa be­rubah, pelaburan yang mampu mena­war­kan kestabilan dan perlindungan nilai kekayaan menjadi semakin penting. 

Satu aset yang telah terbukti bertahan dalam pelbagai krisis ekonomi adalah emas dan era moden menawarkan pelbagai jenis pelaburan emas seperti akaun emas dan emas digital, selain menyimpan emas fizikal secara konvensional.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan emas ini memberikan pulangan yang lumayan, secara puratanya di atas 10 peratus setahun untuk jangka masa 10 tahun yang lalu.

Katanya, emas kemudian menunjukkan lonjakan hingga 20 peratus pada bulan April lalu setelah pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menyebabkan emas mencapai tahap termahal dalam sejarah iaitu AS$3,484 (RM14,823) setiap auns. 

“Jelas di sini emas merupakan pelaburan modal yang menguntungkan, namun kelemahannya adalah ia tidak memberi dividen seperti pelaburan lain termasuk pembelian saham atau pun keuntungan sukuk atau faedah dari bon dan simpanan tetap. 

“Untuk merealisasikan  keuntungan pelaburan emas, ia perlu dijual dan sekiranya mahu membeli semula harganya pastilah sudah berbeza berbanding pembelian terdahulu.

“Justeru emas lebih sesuai untuk pelaburan jangka panjang dan tidak mementingkan dividen. Harga emas juga tidak mudah jatuh dan lebih stabil walaupun pulangan pelaburan lebih rendah dalam jangka masa pendek berbanding pelaburan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 berbanding dengan akaun emas dengan institusi kewangan pula, ada juga akaun emas yang memberikan dividen setiap tahun tetapi pelabur perlu berkongsi keuntungan pelaburan dengan institusi tersebut. 

Katanya, ia juga mungkin lebih selamat daripada me­nyimpan emas fizikal di rumah, namun untungnya lebih sederhana. 

“Kecairan emas di akaun lebih mudah dari memegang emas fizikal kerana ia mudah dilakukan dikaunter atau pun melalui aplikasi sahaja. 

“Malah pihak Bursa Malaysia sendiri juga memperkenalkan pelaburan emas melalui pembukaan akaun serendah RM10 sahaja,” ujarnya.

 Aimi Zulhazmi berkata, pelaburan emas juga yang mempunyai dua harga yang berbeza iaitu harga jual dan beli.

Jelasnya, banyak penjual pelaburan emas tidak menjelaskan perbezaan besar antara dua harga ini yang menyebabkan pelabur emas terperangkap dalam margin keuntungan penjual yang licik. 

“Begitu juga barang kemas di kedai-kedai emas yang sering dikelirukan dengan harga upah. Contohnya, harga emas murah tetapi bila dicampur dengan upaH maka jumlah keseluruhannya  menjadi mahal semula,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, akaun emas digital semakin mengambil alih peranan emas fizikal dalam kalangan pelabur muda di Malaysia.

Katanya, ini terutamanya disebabkan oleh kemudahan teknologi kewangan (fintech) dan perubahan dalam gaya pelaburan generasi muda. 

“Walau bagaimanapun, emas fizikal masih mempunyai peranan tersendiri, terutama dalam kalangan pelabur konservatif atau yang menumpukan kepada pelaburan jangka panjang dan warisan.

“Kedua-dua bentuk ini pelaburan emas ini akan terus berkembang dan saling melengkapi. Pelabur muda mungkin bermula dengan akaun emas digital dan beralih ke emas fizikal apabila kekayaan dan matlamat jangka panjang mereka berkembang,” jelas­nya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN