PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama 2025, didorong oleh pengembangan permintaan dalam negeri dan pelaburan aset yang stabil.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan menaik terhadap gaji minimum dan gaji penjawat awam.
Ujarnya, pengembangan aktiviti pelaburan adalah stabil disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan yang sedia ada.
“Bagi sektor luaran pula, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport perlombongan yang lebih rendah.
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.
“Pada masa sama, pertumbuhan import meskipun lebih sederhana terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal, sekali gus mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2025 di Sasana Kijang di sini semalam.
Mengulas mengenai mata wang tempatan, beliau berkata, ringgit secara amnya kekal stabil, dengan marginal peningkatan sebanyak 0.01 peratus pada asas kadar pertukaran efektif nominal, atau nominal kadar pertukaran berkesan (NEER), berbanding mata wang utama rakan dagang Malaysia.
“Ringgit juga mencatatkan peningkatan keseluruhan sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS. Untuk keseluruhan tahun sehingga kini pada 14 Mei 2025, ringgit telah meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding dolar AS dan 0.7 peratus pada asas NEER.
“Pergerakan ini terutamanya didorong oleh kelemahan menyeluruh dolar AS, kerana ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap dasar perdagangan AS menyebabkan peningkatan jangkaan untuk pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan.
“Nilai ringgit terus ditentukan pasaran. BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur, disokong oleh inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran masuk ke pasaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari segi pertumbuhan suku tahun ke suku tahun, KDNK menunjukkan peningkatan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 0.7 peratus, berbanding -0.2 peratus pada suku keempat 2024.
Ujarnya, dari segi perbelanjaan, permintaan domestik didorong terutamanya oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang berdaya tahan.
“Penggunaan swasta terus disokong oleh pasaran buruh yang positif dan langkah dasar. Sementara itu, pertumbuhan pelaburan didorong oleh pelaburan struktur yang berterusan, serta perbelanjaan mesin dan peralatan.
“Pertumbuhan eksport bersih adalah lebih perlahan disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
“Dari segi penawaran, semua sektor terus berkembang, kecuali sektor perlombongan manakala bagi sektor komoditi, sektor pertanian bertambah baik di sebalik pertumbuhan subsektor perikanan dan pertanian lain,” katanya.
Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 1.8 peratus pada suku keempat 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0 peratus berbanding 18.1 peratus pada suku keempat 2024.
Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku sebelumnya, didorong didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1 peratus. – UTUSAN