KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pemaju perlu membina dua blok rumah terlebih dahulu untuk membawa penduduk yang telah berpindah.
Katanya, langkah itu penting untuk memulihkan keyakinan penduduk lain yang masih enggan berpindah selagi janji pembinaan semula tidak ditunaikan.
“Ramai penduduk sudah berpindah, hanya tinggal 14 keluarga yang belum keluar. Pemaju kena siapkan dahulu dua blok menggunakan kawasan yang sudah dibangunkan, kemudian bawa balik penduduk yang sudah pindah.
“Barulah mereka yang masih tinggal, yakin projek ini benar-benar berjalan. Ini sudah lapan tahun. Tanyalah pemaju, bila mahu mulakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menerusi Podcast Utama Buletin TV berkata, pihak pemaju mengambil kesempatan terhadap penduduk Kampung Sungai Baru untuk menerima tawaran mereka.
“Ketika saya menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, saya menasihatkan mereka supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan dengan pemaju kerana kekurangan kekuatan kewangan dan risiko pengambilan tanah.
“Namun selepas saya kalah pada PRU14, pemaju mula bertindak dan 67 peratus penduduk menandatangani persetujuan, walaupun 33 peratus lagi menolak. Inilah punca masalah yang timbul,” katanya.
Katanya, Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan secara tidak wajar bagi membolehkan pemaju menggabungkan rumah flat dan rumah teres untuk pembangunan semula walaupun ada penduduk menolak.
Johari berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.
Kampung Baru sebelum ini menjadi tumpuan apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.
Pada 2021 lalu, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.
Arahan pengosongan minggu lalu itu merupakan percubaan kedua pihak berkuasa sejak Julai 2025 untuk mengeluarkan 14 penduduk di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan Kampung Baru di sini. – UTUSAN










