Pantai Batu Rakit kian tenat kerana hakisan

Pantai Batu Rakit kian tenat kerana hakisan

HAKISAN Pantai Batu Rakit di Kuala Nerus, Terengganu menyebabkan jeti nelayan terjejas. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Keadaan pesisir Pantai Batu Rakit di sini sema­kin kritikal apabila lebih 50 meter kawasan daratan hilang ditelan ombak, sekali gus me­nimbulkan kebimbangan penduduk menjelang musim tengkujuh yang bakal tiba.

Hakisan pantai itu bukan sahaja mengancam keselamatan rumah penduduk, malah turut menjejaskan mata pencarian nelayan setempat yang semakin terhimpit untuk menjalankan aktiviti harian.

Nelayan, Ya Riduan Yusof, 38, berkata, hakisan menyukarkan nelayan menurunkan bot ke laut kerana kawasan pendaratan yang dahulunya aktif sudah lenyap.

“Pantai Batu Rakit dulu tum­puan utama nelayan, tetapi kini hanya tinggal kira-kira 10 orang yang beroperasi, manakala yang lain berpindah ke Mengabang Telung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pangkalan nelayan yang menjadi nadi utama komuniti sejak puluhan tahun turut terancam apabila kawasan baharu yang digunakan juga perlahan-lahan terhakis. “Dua pemecah ombak perlu dibina segera bagi melindungi pantai, rumah penduduk dan pangkalan nelayan ini.

Jangan tunggu sampai semuanya musnah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Che Yusaini Che Yusof, 46, berkata, isu hakisan bukan perkara baharu, sebaliknya berlarutan sejak bertahun-tahun tanpa penyelesaian kon­krit.

Beliau mencadangkan pembinaan struktur pemecah ombak berbentuk T dan tambakan pantai sejauh sekurang-kurangnya 100 meter dari pesisir daratan.

Katanya, beberapa kemudahan penting termasuk wakaf nelayan, stor bot dan jalan raya di tepi pantai sudah musnah akibat hakisan agresif sejak tahun lalu.

Penduduk berharap kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam turun padang menilai keadaan sebenar. “Kalau tiada tindakan segera, bukan sahaja rumah penduduk terancam, malah sumber rezeki nelayan dan keseluruhan komuniti Batu Rakit boleh lenyap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN