Menteri tiada kuasa eksekutif isu pengambilan tanah - Shahidan

Isu Kampung Sungai Baru: Menteri tiada kuasa eksekutif isu pengambilan tanah – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tidak boleh dikaitkan dengan kuasa Menteri Wilayah Persekutuan kerana jawatan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam proses berkenaan.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kuasa sebenar terletak di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Ketua Setia­usaha Negara (KSN) serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala menteri hanya berperanan sebagai pemudah cara.

“Kalau nak menunding jari kepada menteri, itu tidak adil kerana saya sudah berusaha untuk berunding dengan penduduk untuk pastikan harga yang ditawarkan lebih baik.

“Kalau menteri dikatakan ‘me­ngarahkan’ atau ‘menyuruh’, itu sebenarnya hanyalah dalam bentuk pemudah cara, bukan kuasa eksekutif.

“Contohnya, ketika zaman Khalid Samad, beliau arahkan buat perjanjian dan menetapkan harga RM1,000 kaki persegi, tetapi tiada hitam putih,” katanya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bekas-bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat perlu mengambil tanggungjawab berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

Katanya, isu berlaku pada 11 September lalu, tidak sepatutnya timbul malah diperburukkan akibat campur tangan politik dan tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada pi­hak tertentu.

Shahidan berkata, proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru diwartakan pada 18 Jun serta 21 Jun 2021 berlaku sebelum beliau menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Ketika itu saya belum pe­gang jawatan dan hanya mula masuk sekitar Ogos 2021 dan tamat pada Oktober 2022, jadi bukan zaman saya pewartaan itu dibuat,” katanya.

Sepanjang tempoh menerajui kementerian, tumpuan diberikan kepada usaha mengadakan rundingan bersama pemaju, penghuni serta pihak KSN bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Ketika itu, pertama kali penduduk Kampung Sungai Baru berpeluang duduk semeja de­ngan pemaju kerana sebelum itu hanya melibatkan wakil penduduk dari kawasan perumahan pangsapuri.

“Penduduk flat kebanyakannya sudah setuju berpindah dan ada yang sudah dipindahkan ke unit baharu ketika proses gazet dibuat. Tetapi yang banyak menentang pengambilan tanah ialah pemilik rumah teres,” katanya.

Proses ditangguhkan bebe­rapa kali bagi memberi ruang rundingan tambahan dengan penduduk termasuk usaha menaikkan tawaran harga, malah ada pemilik rumah teres yang bersetuju menjual pada harga baharu selepas sesi rundingan tersebut,” katanya.

Mengenai permintaan debat dibangkitkan Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, katanya permintaan itu tidak relevan kerana isu sebenar adalah penilaian tanah yang didakwa tidak tepat serta bercanggah dengan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Pengarah tanah bagi makluman kononnya itulah penilaian yang kerajaan boleh buat. Padahal kerajaan ambil tanah bukan untuk kemudahan awam tetapi untuk pembangunan yang memerlukan persetujuan pemaju.

“Jadi, pihak Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SP­RM) kena masuk (siasat), bukan soal menteri. Kalau hendak tuduh menteri salah, pergi lapor SPRM, tak perlu dialog.

“Fokus utama kini adalah membela nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang belum berpindah, khususnya pemilik rumah teres, manakala majoriti penghuni flat sudahpun berpindah dan mahu pembangunan diteruskan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN