Bursa Malaysia dijangka berdepan prospek mencabar

Bursa Malaysia dijangka berdepan prospek mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka terus berdepan dengan prestasi dagangan yang lemah sehingga penghujung Jun ini.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, sejak tahun lalu, pasaran saham tempatan belum menunjukkan pemulihan ketara dan masih kurang mendapat sokongan belian yang kukuh.

“Saya menjangkakan sehingga 30 Jun tahun ini, pasaran masih lemah dan kurang minat sokongan belian kerana tiada petunjuk baharu yang benar-benar signifikan.

“Para pelabur juga mengambil pendekatan tunggu dan lihat, khususnya bagi menilai perkembangan dasar tarif yang bakal diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas tamat tempoh 90 hari rundingan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, katanya, pelabur runcit pula didapati kekurangan modal untuk melabur, berikutan kejatuhan harga saham yang berpanjangan sejak kebelakangan ini.

“Banyak daripada modal mereka mungkin masih terperangkap dalam pasaran. Mungkin juga tempoh dagangan kontra T+3 yang digunakan sekarang boleh ditambah baik kepada T+5 bagi memberi lebih fleksibiliti.

“Justeru, indeks Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam julat antara 1,510 hingga 1,530 mata dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, TA Securities berkata, Bursa Malaysia Bhd. dijangka berdepan prospek mencabar dalam beberapa bulan akan datang disebabkan aktiviti dagangan yang lebih lemah. 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan pada suku pertama 2025 Bursa Malaysia yang lebih lemah dipengaruhi oleh ketidaktentuan makroekonomi yang semakin meningkat akibat kebimbangan terhadap tarif dan aliran keluar dana asing yang ketara sepanjang suku tersebut.

Katanya, walaupun pengawal selia pasaran saham itu mengekalkan unjuran untung kasar 2025 antara RM369 juta hingga RM408 juta, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dijangka memberi tekanan kepada pendapatan.

“Kami menurunkan harga sasaran (TP) Bursa Malaysia kepada RM9.10 daripada RM10.30 sesaham tetapi mengekalkan saranan ‘beli’, dengan menyatakan risiko kenaikan potensi seperti ‘pengecilan premium risiko’ dan ‘peningkatan selanjutnya dalam dagangan’,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, sentimen pasaran yang lemah telah mula menjejaskan aktiviti dagangan Bursa Malaysia, dengan purata nilai dagangan harian (ADV) jatuh kepada RM2.27 bilion pada April 2025.

“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan ADV kekal suram dalam beberapa bulan akan datang kerana pelabur terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dan menunggu perkembangan baharu di tengah ketidaktentuan pasaran semasa,” katanya.

HLIB menurunkan TP Bursa Malaysia kepada RM7.70 daripada RM8.83 sesaham dan mengekalkan saranan ‘pegang’, sambil menyatakan, walaupun harga saham telah menurun baru-baru ini, profil risiko-pulangannya masih dianggap seimbang.

Begitu juga, MIDF Research kekal berhati-hati, mengekalkan saranan ‘neutral’ dan menurunkan harga sasaran kepada RM7.90 sesaham.

“Kami telah menjangkakan aktiviti dagangan yang kukuh pada 2024 mungkin tidak dapat diulang tahun ini memandangkan peningkatan jangkaan dalam volatiliti, yang menyebabkan penilaian pasaran ekuiti kekal relatif mendatar,” katanya.

Walaupun tawaran awam permulaan (IPO) Bursa Malaysia kekal kukuh dengan 14 penyenaraian dicatatkan pada suku pertama, MIDF Research memberi amaran, mencapai sasaran 60 IPO mungkin sukar dicapai dalam keadaan pasaran semasa.

Kenanga Research turut menyuarakan cabaran pasaran tetapi menyatakan, Bursa Malaysia tetap yakin terhadap sasaran 2025.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran yang berterusan, terutamanya disebabkan oleh perkembangan tarif perdagangan AS, Bursa Malaysia mengekalkan sasaran untuk 2025, iaitu 60 IPO dengan jumlah permodalan pasaran RM40.2 bilion merangkumi Pasaran Utama, ACE dan Leap, pertumbuhan hasil bukan dagangan sebanyak lima hingga tujuh peratus dan untung kasar antara RM369 juta hingga RM408 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN