Anak muda teruskan legasi keluarga dalam percetakan

Anak muda teruskan legasi keluarga dalam percetakan

MUHAMMAD Fawwaz Nu’man Mohd Ishak memasang untuk membuka cawangan baharu di Seri Iskandar, Perak dalam masa tiga tahun lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK di sebuah bandar kecil di Parit Buntar, Perak, berdiri sebuah perniagaan milik anak muda tempatan dalam industri percetakan iaitu IZF Nuqman Resources. 

Bagi Pengasasnya, Muhammad Fawwaz Nu’man Mohd Ishak, 26, perniagaan ini bukan sekadar minat, tetapi juga kesinambungan legasi keluarga.

Muhammad Fawwaz Nu’man bukanlah asing dalam dunia percetakan dan telah membantu ayahnya dalam perniagaan cetakan milik keluarga sejak berumur 18 tahun.

“Dari situlah saya belajar segala selok-belok pengendalian mesin, melayan pelanggan dan memahami selera pasaran. 

“Sebelum ini, saya pernah mencuba bidang lain seperti jualan coklat dan makanan tapi akhirnya saya putuskan untuk kembali dalam bidang percetakan.

“Minat terhadap bidang keusahawanan menyebabkan saya memilih untuk terlibat dalam bidang perniagaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

IZF Nuqman Resources ditubuhkan pada September 2021 bermodalkan mesin yang sedia ada daripada perniagaan keluarga dan sedikit pelaburan tambahan sebanyak RM3,000 untuk peralatan baharu,

Berbekalkan semangat dan pengalaman, dia menetapkan matlamat untuk menjadikan syarikat ini sebagai pusat percetakan yang dipercayai dan mudah diakses oleh pelajar serta institusi.

Terletak strategik berhampiran institusi seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai Nibong Tebal (ILP APNT), Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) dan kolej vokasional, IZF Nuqman Resources menjadi pilihan utama pelajar untuk mendapatkan khidmat cetakan tesis, tugasan dan sebagainya.

Namun, dia berkata, perniagaan yang pelanggan utamanya adalah pelajar datang dengan cabaran tersendiri dan permintaan bersifat bermusim naik menjelang minggu akhir semester dan turun ketika cuti panjang. 

Menyedari keperluan untuk menstabilkan pendapatan, Muhammad Fawwaz Nu’man mula mengembangkan pasaran kepada sekolah, jabatan kerajaan dan syarikat kontraktor. 

“Perbezaan utama yang ditawarkan oleh kedai kami adalah perkhidmatan adalah kami boleh menawarkan reka bentuk grafik sekali memudahkan pelanggan yang tidak mahir reka grafik, terutamanya untuk majalah sekolah.

“Walaupun, pelajar adalah sejumlah besar pelanggan kami, tetapi tempahan daripada sekolah dan jabatan kerajaan adalah pelanggan yang berulang,” ujarnya.

Dengan bantuan dua orang staf, seorang dalam bidang multimedia dan seorang pembantu am, Muhammad Fawwaz Nu’man menguruskan operasi harian dan pemasaran. 

“Setakat ini, promosi banyak dilakukan melalui Facebook dan WhatsApp. Namun, kami dalam perancangan untuk mengembangkan kehadiran digital melalui TikTok dan Google Review, bagi memastikan lebih ramai orang tahu tentang kewujudan perniagaan ini di Parit Buntar.

IZF Nuqman Resources bukan sekadar kedai cetak biasa, tetapi ia adalah lambang usaha gigih seorang anak muda yang mahu mewujudkan jenama tempatan yang mampu bersaing. 

Tambahnya, dengan reputasi sebagai pusat cetakan yang boleh dipercayai dan harga berpatutan, ramai pelanggan dari luar kawasan turut menghantar tempahan, terutamanya untuk servis hard cover yang berkualiti.

Melangkah ke hadapan, dia memasang impian untuk membuka cawangan kedua di Seri Iskandar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kawasan ini juga padat dengan pelajar dan institusi pengajian tinggi yang boleh membantu mengembangkan lagi perniagaan kami,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN