Ventrix Borneo, Infrakop teroka industri angkasa

Ventrix Borneo, Infrakop teroka industri angkasa

ZARINA Ismail (kiri) pada pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ventrix Borneo dan Infrakop baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ventrix Borneo Sdn Bhd (Ventrix Borneo) telah bekerjasama dengan Pengurusan Infrakop Sdn Bhd (Infrakop) bagi membawa pelaburan mencecah RM1 bilion dan 1,000 peluang pekerjaan dalam sektor angkasa lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Ventrix Borneo, Zarina Ismail berkata, usaha sama ini akan menarik pelabur asing dalam industri angkasa lepas dengan nilai pelaburan besar bagi membiayai pembangunan infrastruktur, teknologi dan tenaga kerja.

“Perjanjian persefahaman ini merangkumi kerjasama dalam pendidikan, kepakaran, mewujudkan peluang pekerjaan dan menawarkan teknologi terbaik dalam industri ini.

“Usaha ini turut dijangka membawa manfaat besar kepada Sarawak dengan memperkenalkan peluang dalam sektor angkasa lepas di samping mengukuhkan asas pengetahuan dan kemahiran dalam industri ini yang semakin pesat,” katanya dalam majlis menandatangani dan penyerahan memorandum persefahaman (MoU) itu, baru-baru ini. 

Turut hadir ialah  Pengarah Eksekutif Infrakop, Sanjeev Subramaniam dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Infrakop, Prashanth Vijayakumar.

Sementara itu, wakil Infrakop, Dr Gobaind Naidu berkata, usahasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya 1,000 kekosongan dalam sektor angkasa serta memberi peluang pendidikan kepada belia Sarawak.

“Langkah ini dapat membangunkan ekosistem industri angkasa yang menyepadukan infrastruktur, teknologi dan tenaga kerja bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ventrix Borneo, Abang Abdul Rahman berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Angkasa Sarawak dan berhasrat menyumbang kepada perkembangan industri penerbangan angkasa di negeri itu.

Tambahnya, kerjasama ini juga diharap dapat menjadikan Sarawak sebagai pusat serantau untuk pendidikan dan penyelidikan angkasa, menarik kerjasama global dan membangunkan bakat tempatan dalam bidang tersebut.

“MoU ini juga merangkumi kerjasama dalam pendidikan, kepakaran, mencipta peluang pekerjaan selain menawarkan teknologi yang paling sesuai dalam industri angkasa.

“Dengan sokongan pelaburan antarabangsa dan pemain industri, Sarawak akan semakin kukuh sebagai peneraju dalam sektor angkasa, dengan proses peraturan yang dipermudahkan bagi memastikan pematuhan kepada piawaian angkasa antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN