PETALING JAYA: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) didakwa merupakan antara syor yang dibentangkan dalam Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka pada 15 Ogos lalu.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, syor itu dikemukakan menerusi pembentangan inisiatif strategik pada konvensyen tersebut.
“Tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN tidak mengejutkan,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Mukhriz turut berkongsi tangkap layar yang memaparkan empat inisiatif.
Tangkap layar itu menyenaraikan cadangan membentuk pakatan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi perjanjian perpaduan rasmi.
Inisiatif kedua pula mencadangkan penggantungan aktiviti PN atas alasan ketidakpatuhan kepada RoS, selain menyekat kempen dan operasi gabungan itu bagi mengekang pembangkang.
Selain itu, turut disenaraikan cadangan memulakan proses undang-undang bagi membatalkan pendaftaran PN termasuk mengemukakan bukti pelanggaran dan meneruskan pembubaran secara pentadbiran.
Inisiatif terakhir adalah memastikan sokongan Ahli Parlimen kekal teguh bagi mengelakkan perpecahan lanjut serta tindakan beralih sokongan. – UTUSAN











