PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas (O&G) dijangka terus berdepan cabaran pada masa hadapan akibat ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar perdagangan dan peralihan dalam strategi pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+).
MIDF Amanah Investment Bank Berhad berkata, risiko dalam sektor itu semakin meningkat dengan persekitaran pelaburan yang mencabar.
Katanya, pengenaan tarif yang meluas oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, termasuk tarif 104 peratus ke atas import China dan ancaman levi tambahan, meningkatkan ketegangan perdagangan global.
“Selain itu, OPEC+ telah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dengan ketara sebanyak 411,000 tong sehari pada bulan Mei dan seterusnya.
“Walaupun keputusan OPEC+ untuk menghentikan pemotongan bekalan, bukan OPEC+ juga meningkatkan pengeluaran walaupun harga minyak mentah bergerak menurun,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, bekalan tambahan itu dijangka menjejaskan harga.
“Harga minyak dijangka menurun di bawah AS$65 (RM287.60) setong. Ini akan terus mengheret harga minyak mentah Brent ke bawah AS$70 (RM309.73) setong, menambahkan lagi risiko kepada projek huluan baharu dari segi jumlah pengeluaran dan kebolehlaksanaan,” katanya.
Bank pelaburan menjangkakan minyak mentah Brent berada pada purata sekitar AS$67 (RM296.46) setong pada April 2025, dalam julat lebih luas AS$63 (RM278.76) hingga AS$70 (RM309.73).
Semakan itu mengambil kira penstabilan harga tetapi juga peningkatan kos projek disebabkan oleh tarif yang dikenakan AS, yang dianggarkan menambah dua peratus hingga lima peratus kepada projek yang melibatkan pihak AS.
MIDF berkata, Malaysia akan secara relatinya terlindung daripada impak tarif langsung.
“Kesan tarif terhadap pasaran tempatan kami adalah minimum dan hanya terhad kepada harga bahan mentah, seperti keluli dan aluminium dan bahan mentah dan bahan kimia lain untuk produk petroleum,”katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti huluan kekal berdaya tahan, dengan syarikat-syarikat tempatan meneruskan usaha penerokaan dan pengeluaran.
Tambahnya, Petronas dijangka menggiatkan usaha mengalihkan pengeluaran minyak kepada pengeluaran gas, seiring dengan peningkatan permintaan bagi gas asli cecair (LNG).
Pengumuman Petronas untuk membina terminal pengegasan baharu di Lumut menjelang 2028 menggariskan komitmen Malaysia terhadap pengembangan LNG.
MIDF Research berkata, terdapat potensi keuntungan dalam infrastruktur penyimpanan di tengah-tengah harga minyak yang lebih rendah.
“Medan simpanan juga dijangka mendapat momentum berikutan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah, membolehkan penapis dan peniaga melindung nilai daripada peningkatan semula harga atau gangguan bekalan,” katanya.
Secara keseluruhannya, bank pelaburan menurunkan keyakinan berhati-hati mereka kepada pendirian ‘neutral’ terhadap sektor ini bergerak ke hadapan, sebahagian besarnya disebabkan oleh dua kelemahan utama.
Katanya, pertama adalah tarif perdagangan Trump yang mungkin mengganggu rantaian bekalan dalam sektor minyak dan gas serta peningkatan pengeluaran OPEC+.
“Ketidakpastian ini menambah kepada pasaran minyak yang tidak menentu, seterusnya mempertaruhkan modal untuk projek huluan baharu dan menghalang laluan pengangkutan dan pemunggahan produk petroleum dan minyak mentah
“Pilihan utama kami sektor ini adalah Petronas Gas Berhad dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) sebanyak (RM18.67) sesaham,” ujarnya.-UTUSAN










