MSB Global sasar perkenal pengecas EV pada suku kedua 2025

MSB Global sasar perkenal pengecas EV pada suku kedua 2025

KEE FOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MSB Global Group Berhad (MSB Global), permain industri alat ganti dan komponen automotif sasar melancarkan pengecas kenderaan elektrik (EV) jenama sendiri pada suku kedua 2025 sebagai langkah strategik memperluas penawaran produk sejajar dengan perkembangan pesat sektor mobiliti hijau negara.

Pengarah Urusan MSB Global Group Berhad, Datuk Ow Kee Foo berkata, pengecas berkenaan direka khas untuk kegunaan kediaman dan akan dipasarkan menerusi model pengedaran jualan sedia ada, selain turut memanfaatkan saluran digital serta media sosial sebagai platform promosi utama.

“Langkah ini sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk turut serta dalam penyelesaian mobiliti masa depan dan teknologi lestari, selari dengan pertumbuhan penggunaan EV dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Perancangan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM0.84 juta bagi pembangunan pengecas EV jenama sendiri dalam tempoh 24 bulan.

Dana itu diperoleh daripada jumlah keseluruhan RM26.6 juta yang berjaya dikumpul melalui tawaran awam permulaan (IPO). 

Dalam pada itu, syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu turut merancang memperluaskan rangkaian produknya yang kini merangkumi lebih 3,000 unit stok penyimpanan (SKU) alat ganti dan 200 SKU pelincir

Kee Foo berkata, bagi segmen pelincir, MSB Global akan menambah lebih banyak varian baharu mengikut jenis kenderaan dan keperluan prestasi, manakala dalam segmen alat ganti, peluasan akan merangkumi jenama dan model kenderaan yang lebih pelbagai. 

“Maklum balas daripada lebih 1,000 pengedar borong dan runcit kami memainkan peranan penting dalam pelan pengembangan. 

“Kami juga memiliki loji pencampuran pelincir dalaman yang membolehkan kami bertindak balas dengan pantas terhadap peluang baharu.

“Syarikat juga merupakan pengedar eksklusif jenama antarabangsa, GSP serta memiliki jenama tempatan seperti FK FUKUOKA dan ZR ZURIC yang menyumbang lebih 90 peratus daripada hasil keseluruhan syarikat,” ujarnya.

Mengulas mengenai perluasan pasarannya, beliau berkata, MSB Global terbuka meneroka pasaran serantau dalam jangka sederhana hingga panjang, meskipun tumpuan syarikat kini kekal di Malaysia

“Kami tidak menolak kemungkinan meneroka pasaran Asia Tenggara yang serupa dinamiknya, melalui usaha sama strategik atau eksport.

“Dengan strategi pelaburan bersepadu, kepelbagaian produk dan visi ke hadapan dalam teknologi automotif, MSB Global berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai pemain utama industri automotif negara dan rantau ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN