Jualan Proton melonjak 11.9 peratus pada Mac

Jualan Proton melonjak 11.9 peratus pada Mac

PROTON Saga
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mengakhiri suku pertama 2025 dengan pemulihan jualan yang ketara pada bulan Mac dengan 13,918 unit terjual, peningkatan sebanyak 11.9 peratus berbanding Februari dan 9.6 peratus lebih tinggi daripada bulan yang sama pada 2024. 

Hasilnya, bahagian pasaran bagi jualan kumpulan (domestik, eksport, smart, Protom, e.MAS) dijangka 19.4 peratus daripada anggaran jumlah volum industri (TIV) sebanyak 71,596 unit.

Proton berkata, keputusan yang kukuh ini telah melonjakkan jualan Proton pada suku pertama kepada 35,068 unit, yang bersamaan dengan bahagian pasaran sebanyak 18.9 peratus berdasarkan TIV sebanyak 184,652 unit. 

“Pencapaian ini didorong oleh prestasi jualan yang kukuh merentasi keseluruhan barisan model, pertumbuhan dalam jualan eksport serta sumbangan daripada penawaran tenaga baharu syarikat. 

“Ini terutamanya, Proton e.MAS 7 telah menunjukkan prestasi yang baik dalam tiga bulan pertamanya dan merupakan kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Dalam segmen jualan kenderaan elektrik (EV), Proton e.MAS 7 terus menjadi peneraju berbanding semua model EV lain. 

Sebanyak 797 unit (domestik dan eksport) Proton e.MAS 7 terjual pada bulan Mac, meningkatkan jumlah kumulatif  jumlah jualan awal tahun sehingga kini suku pertama 2025 kepada 1,853 unit. 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar,  Roslan Abdullah berkata, jualan bulanan Proton meningkat sebanyak 23.9 peratus pada bulan Mac, mengatasi pertumbuhan TIV sebanyak 12 peratus, sementara jumlah jualan juga meningkat sebanyak 9.6 peratus berbanding bulan yang sama pada 2024. 

“Kami mengaitkan keputusan ini dengan promosi jualan agresif kami yang menawarkan nilai hebat kepada semua pembeli Proton dan tahap perkhidmatan terbaik dalam kelasnya yang disampaikan oleh rangkaian pengedar 3S/4S di seluruh negara yang tiada tandingan.

“Menjelang suku kedua 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baharu yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. 

“Bagaimanapun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Roslan memaklumkan, operasi eksport Proton terus berkembang pada suku pertama 2025, dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211 peratus pada bulan Mac kepada 417 unit terjual berbanding Februari. 

“Hasilnya, jumlah jualan eksport kini 11.4 peratus lebih tinggi berbanding suku pertama 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran 410 unit ke pasaran luar negara pada tahun ini. 

“Penawaran kenderaan tenaga baharu Proton juga telah membantu mengembangkan jumlah eksport dengan penghantaran ke Nepal dan Trinidad serta Tobago sebagai penyumbang ketara kepada jualan eksport.

“Eksport merupakan tonggak penting bagi strategi pertumbuhan Proton. Walaupun perjalanan untuk mencapai sasaran jangka panjang kita masih jauh, kita yakin pelaburan luar negara kita mula menunjukkan hasil yang positif dan penawaran model semasa serta akan menarik minat pembeli di dalam dan luar negara pada masa depan ,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN