KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan varian baharu BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre dengan harga bermula daripada RM396,800.
Model itu dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 model ikonik BMW 3 Series.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, BMW 3 Series telah menempah tempat yang istimewa di hati para peminat, bukan sahaja di peringkat global, malah turut mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Ujarnya, model ini akan terus berevolusi dengan menggabungkan legasi gemilang bersama kemajuan teknologi terkini, sekali gus membentuk masa hadapan dunia pemanduan.
“Kami meraikan detik bersejarah ini menerusi pelancaran BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre yang baharu di Malaysia. Model ini hanya ditawarkan terhad kepada 50 unit sahaja di pasaran tempatan.
“Kami teruja menyaksikan evolusi berterusan BMW 3 Series yang terus memacu jenama ini ke hadapan dari segi reka bentuk dan teknologi, sambil mengekalkan pengalaman pemanduan BMW yang tiada tandingan.
“Mengimbas kembali sejarah BMW 3 Series, transformasinya konsisten dari segi reka bentuk dan inovasi teknologi, di mana setiap generasi dibangunkan berasaskan kejayaan era sebelumnya, sambil merintis jalan ke masa depan,” katanya semasa majlis sambutan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series di sini, semalam.
Mengatasi semua model lain, BMW 3 Series bukan sahaja menjadi wajah kepada jenama tersebut malah turut mewakili falsafah teras syarikat yang memacu masa hadapan menerusi prinsip ‘Keterbukaan Teknologi’ dan ‘Kuasa Pilihan’.
Model ini juga ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Putih Alpine (Alpine White), Biru Perlumbaan Artik (Arctic Race Blue), Kelabu M Brooklyn (M Brooklyn Grey) dan Hitam Nilam (Black Sapphire).
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean-Philippe Parain berkata, prestasi kumpulan pada suku pertama tahun ini mencerminkan hala tuju strategik BMW Group yang mengimbangi antara inovasi, konsistensi dan prinsip ‘Kuasa Pilihan’.
Menurutnya, dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik di seluruh pasaran, BMW Group akan terus menerajui masa depan yang mampan dan penuh daya tarikan.
“Dalam meraikan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series tahun ini, sambutan ini merupakan peringatan yang bermakna tentang bagaimana model ikonik ini telah membentuk identiti jenama BMW menerusi gabungan prestasi dinamik, teknologi tercanggih dan rekaan yang kekal relevan merentasi masa.
“Setiap generasi BMW 3 Series memacu falsafah kami terhadap ‘Keterbukaan Teknologi’ dan ‘Kuasa Pilihan’, yang mencetuskan inspirasi kepada cara baharu untuk merasai pengalaman nikmat pemanduan tulen,” katanya. – UTUSAN