ALOR SETAR: Perjuangan Kerajaan Negeri Kedah untuk menghapuskan perjudian di negeri itu wajar diteruskan sehingga ke peringkat terakhir kerana aktiviti tersebut tidak selayaknya dibenarkan semula.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya sentiasa bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mempertahankan dasar bebas judi di Kedah serta menyeru umat Islam untuk bersama-sama bersolidariti.
Katanya, aktiviti perjudian tidak wajar dibenarkan berada dalam masyarakat kerana ia bukan sahaja larangan yang jelas dalam Islam, bahkan turut dilarang oleh agama-agama lain.
“Dewan Ulama menekuni keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan kerajaan Kedah menghentikan pemberian lesen premis bagi aktiviti perjudian di negeri itu.
“Ia suatu keputusan yang mendukacitakan bagi rakyat Kedah dan umat Islam umumnya. Sewajarnya pertimbangan moral menjadi asas serta alasan yang kukuh bagi menghapuskan aktiviti perjudian dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memberi serta memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan sedemikian adalah tidak berperlembagaan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, judi juga pendorong utama kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat dan meskipun pelbagai kerosakan yang nyata, masih ada pihak yang mempertahankannya.
“Tidakkah ia janggal melihat ada pihak yang masih terus mahu kerosakan berada dalam masyarakat. Kami gesa pengamal perundangan Islam cari kaedah terbaik bagi mengharmonikan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya dalam perkara berkaitan syariat dan moral.
“Beberapa tahun kebelakangan ini selain ikutan daripada kes Nik Elin, kuasa di peringkat negeri semakin menguncup kerana sering kali dicabar keabsahannya di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Exco Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, penolakan terhadap judi tidak boleh dilihat tentang agama atau kaum, sebaliknya kerosakan akibat judi tidak memilih bangsa dan tidak mengenal apa jua latar belakang.

“Kita tidak membenci individu yang terlibat, yang kita lawan adalah sistem dan industri yang mengambil untung daripada kelemahan manusia.
“Kerajaan Negeri Kedah telah berusaha untuk mengharamkan operasi perjudian di Kedah sebagai langkah pencegahan jangka panjang demi melindungi masyarakat.
“Usaha ini dibuat atas pertimbangan kesan sosial yang nyata, bukan sentimen atau kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama,” ujarnya. – UTUSAN











