PETALING JAYA: Sebarang keputusan sama ada MIC terus kekal atau keluar daripada Barisan Nasional (BN) hanya akan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MIC, Tan Sri S. Vikneswaran berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan secara menyeluruh dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Ini kerana menurutnya ia melibatkan masa depan parti serta kepentingan ahli di peringkat akar umbi.
Katanya, MIC mengamalkan prinsip demokrasi dalaman dan sebarang keputusan penting akan ditentukan secara kolektif melibatkan kepemimpinan tertinggi parti tersebut
“Selepas keputusan dibuat CWC, barulah kami akan maklumkan kepada BN,” katanya semalam.
Sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana parti yang meninggalkan BN tidak akan diterima masuk semula.
Vickneswaran menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai nasihat yang perlu dilihat serta dipertimbangkan barisan kepimpinan parti demi kepentingan MIC dan BN secara keseluruhan.
Beliau pada masa sama bersetuju dengan kenyataan Ahmad Zahid bahawa mana-mana parti yang sudah keluar tidak wajar untuk kembali.
“Saya ambil maklum apa yang diperkatakan oleh Ahmad Zahid. Mungkin ada segelintir yang mahu menganggap ia sebagai nasihat atau mungkin juga anggap ia sebagai satu amaran. Terpulang, apa pun, MIC ambil maklum dengan pandangan beliau (Ahmad Zahid),” jelasnya. – UTUSAN











