Sukarelawan tidak gentar angkat senjata lindungi kampung di sempadan Thailand

Sukarelawan tidak gentar angkat senjata lindungi kampung di sempadan Thailand

NARONGCHAI Putthet berdiri di sekatan jalan raya ketika di zon pemindahan di wilayah Buriram, Thailand.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURIRAM: Kira-kira 10 kilometer dari sempadan Thailand-Kemboja yang dipertikaikan, seorang petani yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan kampung, Narongchai Putthet berdiri di sekatan jalan raya dengan senapang tergantung di bahunya, lengkap berseragam biru gelap.

Lelaki berusia 60 tahun itu merupakan antara sekumpulan kecil sukarelawan yang dilantik pihak berkuasa tempatan untuk melindungi komuniti luar bandar Thailand yang kini sebahagian besarnya ditinggalkan penduduk, susulan seminggu pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.

Para sukarelawan berperanan sebagai mata dan telinga komuniti mereka ketika pertempuran kembali tercetus, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa.

Tugas mereka termasuk mengawal rumah-rumah kosong daripada kemungkinan rompakan,  menjaga ternakan dan mengendalikan sekatan jalan raya di luar kampung tanpa rasa gentar dengan dentuman tembakan meriam yang bergema di sekitar sawah padi yang kering.

Ia merupakan satu bentuk khidmat luar biasa, dilakukan dengan risiko peribadi yang tinggi dan tanpa sebarang bayaran.

“Walaupun kami tidak menerima gaji atau elaun, ia berbaloi. Sekurang-kurangnya kami dapat membantu penduduk kampung. Kami melakukannya dengan hati seorang sukarelawan,” kata Narongchai kepada AFP.

Ketua kampung di wilayah Buriram, Komkai Seehanam mengetuai pasukan 20 orang yang bertanggungjawab melindungi harta benda kira-kira 500 penduduk.

“Adakah saya takut? Sudah tentu. Namun, ada pihak yang perlu kekal tinggal untuk menjaga barang-barang milik jiran-jiran di sini dan kami benar-benar mengambil berat tentang perkara ini,” tambah lelaki berusia 55 tahun itu.

Seperti yang berlaku pada Julai lalu, Narongchai dan pasukannya masih kekal di posisi masing-masing, terus berkawal di bawah dentuman tembakan senjata berat.

Beliau sedar walaupun gencatan senjata dicapai, keresahan itu tidak akan mudah hilang.

“Walaupun ia berakhir, kami tetap akan berasa cemas. Selepas pertempuran sebelum ini, setiap kali saya dengar guruh, saya masih menyangka itu bunyi tembakan artileri,” katanya.

DILATIH UNTUK MELINDUNGI

Dengan lebih 250,000 penduduk Thailand berlindung di pusat pemindahan dan puluhan ribu lagi dipindahkan ke lokasi lain sejak pertempuran tercetus pada 7 Disember, segelintir yang masih tinggal di kampung terpaksa berehat di dalam kubu pada waktu siang dan melakukan rondaan pada waktu malam.

Para sukarelawan sudah mengenali selok-belok kampung mereka, mengetahui keluarga mana menternak babi dan ladang mana menempatkan kandang lembu.

Ketika rondaan, mereka berhenti memberi makan lembu dan menuangkan air untuk anjing-anjing yang berlari menyambut ketibaan mereka.

Di antara rondaan, Narongchai dan Komkai berehat di bawah bumbung zink atau di dalam kubu baharu yang diperkuatkan dengan tayar dan guni pasir.

“Jika ada yang mempunyai beras atau sayur-sayuran, mereka berkongsi dengan para sukarelawan. Kami sama-sama bertahan,” kata Komkai.

Untuk menjadi pengawal, mereka menerima latihan asas daripada tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan, termasuk kemahiran kelangsungan hidup, pertolongan cemas serta cara mengendalikan bahan letupan yang tidak meletup.

“Mereka mengajar kami sejauh mana peluru boleh bergerak, di mana peluru artileri mungkin jatuh dan apa yang perlu dilakukan jika ia tidak meletup. Pengetahuan itu membantu kami melindungi orang lain.”

“Latihan itu juga merangkumi cara bergerak dengan selamat ketika diserang. Keselamatan semua orang mesti diutamakan. Ini tanggungjawab kami dan ini rumah kami dalam apa jua keadaan,” jelas Komkai

MENANTI PENUH DEBAR

Di sebuah pusat pemindahan di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, kira-kira 70 kilometer dari kampung mereka, isteri Narongchai, Uthai Putthet, duduk di atas tikar jerami sambil cemas menunggu perkembangan terkini.

“Bagaimana keadaan sekarang? Adakah kamu sudah makan hari ini?” tanya wanita berusia 53 tahun itu semasa panggilan video.

Sejak pusingan pertempuran maut di sempadan itu pada musim panas lalu, wanita, kanak-kanak dan warga emas lazimnya dipindahkan terlebih dahulu dari komuniti pertanian luar bandar, manakala lelaki tinggal untuk mengawal harta benda.

“Pada Julai, saya terpaksa tinggal di pusat pemindahan selama kira-kira 15 hari. Sekarang tembakan berlaku setiap hari dan penduduk tertanya-tanya, adakah kami terpaksa tinggal begini selama berbulan-bulan atau sehingga setahun?

“Ia benar-benar melemahkan semangat kami,” kata Uthai.

Seorang lagi mangsa pemindahan, Nattamon Pawaputo, turut menunggu khabar daripada suami dan sepupunya, yang kedua-duanya merupakan sukarelawan pengawal di sebuah kampung sempadan lain.

“Saya risaukan mereka. Saya hampir tidak boleh tidur, namun saya bangga dengan keberanian mereka,” kata wanita berusia 52 tahun itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN