219,015 perniagaan di Malaysia didominasi wanita pada 2022

219,015 perniagaan di Malaysia didominasi wanita pada 2022

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 219,015 pertubuhan perniagaan di Malaysia dimiliki golongan wanita dengan nilai output kasar sebanyak RM136.9 bilion atau 3.6 peratus kepada keseluruhan sektor ekonomi negara pada tahun 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu mewakili 20.1 peratus daripada keseluruhan pertubuhan dalam ekonomi pada tahun dilaporkan, peningkatan 2.3 peratus berbanding bancian 2015 yang mencatatkan 187,265 pertubuhan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 205,012 pertubuhan atau 93.6 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan (8,469 pertubuhan) dan pembinaan (3,869 pertubuhan).

“Lebih 70 peratus daripada pertubuhan milikan wanita terlibat dalam subsektor perdagangan borong dan runcit dengan sumbangan 45 peratus serta subsektor makanan dan minuman dengan sumbangan 31.1 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Selangor kekal sebagai negeri teratas dengan bilangan pertubuhan milikan wanita tertinggi pada 2022, sebanyak 34,823 pertubuhan atau 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia diikuti oleh Sabah dengan 22,740 pertubuhan (10.4 peratus), Kelantan (21,079 pertubuhan/9.6 peratus)), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20,237 pertubuhan/9.2 peratus) dan Johor (19,495 pertubuhan/8.9 peratus).

“Kelima-lima negeri ini menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pertubuhan milikan wanita di Malaysia,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, sektor perkhidmatan menjana nilai output kasar tertinggi dengan RM83.0 bilion atau sumbangan 60.7 peratus dan subsektor perdagangan borong dan runcit merupakan pemangkin yang menyumbang 37.7 peratus (RM31.3 bilion).

“Nilai output kasar sektor pembuatan pula menyumbang 30.1 peratus dengan subsektor pembuatan produk makanan menjadi penyumbang utama, mencatatkan RM12.6 bilion (30.7 peratus),” katanyan.

Tambah Mohd. Uzir, dari segi pertumbuhan, nilai output kasar meningkat 7.0 peratus setiap tahun pada 2022 berbanding 2015, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor Pembuatan sebanyak 13.8 peratus, diikuti sektor Pertanian (6.0 peratus) dan sektor Perkhidmatan (5.7 peratus).

“Peningkatan penglibatan wanita dalam ekosistem keusahawanan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

“Statistik ini bukan sahaja membuktikan kekuatan dan keupayaan usahawan wanita, malah berfungsi sebagai input penting bagi pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri dalam merangka strategi yang berinformasi untuk menyokong dan meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah bilangan pekerja untuk keseluruhan sektor juga mencatatkan peningkatan 2.0 peratus, dengan 979,812 orang pada 2022 berbanding 853,559 orang pada 2015. Selain itu, jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 5.5 peratus setiap tahun, berjumlah RM20.5 bilion pada 2022 berbanding RM14.1 bilion pada 2015. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×