MUKADIMAH
LITERASI kewangan adalah aspek penting dalam kehidupan moden, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu. Pengurusan kewangan yang baik bukan sahaja membantu individu mencapai kestabilan kewangan, malah mengelakkan beban hutang serta memastikan kesejahteraan jangka panjang.
Namun, tahap kesedaran masyarakat mengenai literasi kewangan masih rendah, dengan ramai yang tidak mempunyai simpanan kecemasan, gagal mengurus perbelanjaan dengan berkesan dan kurang memahami kepentingan pelaburan yang bijak.
Oleh itu, baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI berpeluang menemu bual Pengasas MyPocket, AWIS QURNI ZAKARIAH, bagi membincangkan strategi terbaik dalam mengurus kewangan peribadi serta kepentingan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
UTUSAN: Bagaimana tahap kesedaran masyarakat Malaysia mengenai literasi kewangan dan mengapa ia penting?
AWIS: Secara keseluruhannya, tahap kesedaran masyarakat terhadap literasi kewangan masih rendah.
Berdasarkan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi kecemasan kewangan.
Ini menunjukkan kepentingan pendidikan kewangan dalam membentuk disiplin berbelanja dan menyimpan.
Literasi kewangan bukan hanya mengenai cara menyimpan wang, tetapi juga memahami risiko kewangan, cara mengurus hutang dan membina kekayaan secara berstruktur.
Jika seseorang tidak mempunyai asas kewangan yang kukuh, mereka lebih cenderung terperangkap dalam masalah hutang dan keputusan pelaburan yang tidak bijak.
Bagaimana individu boleh mengawal perbelanjaan mereka dengan lebih berkesan?
Langkah pertama dalam pengurusan kewangan yang berkesan adalah mengenal pasti keutamaan perbelanjaan.
Pendekatan 50/30/20 amat disarankan, di mana 50 peratus daripada pendapatan diperuntukkan untuk keperluan asas seperti perumahan, makanan, dan bil utiliti, 30 peratus untuk perbelanjaan gaya hidup seperti hiburan dan rekreasi serta 20 peratus bagi simpanan dan pelaburan demi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang.
Di samping itu, penggunaan aplikasi perancangan kewangan dapat membantu individu memantau corak perbelanjaan mereka dengan lebih sistematik.
Mewujudkan bajet bulanan yang terperinci juga amat penting bagi memastikan setiap perbelanjaan terkawal serta selari dengan kemampuan kewangan.
Berapa banyak yang perlu disimpan dalam dana kecemasan dan mengapa ia begitu penting?
Dana kecemasan berfungsi sebagai pelindung kewangan jika berlaku kejadian yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.
Secara umumnya, seseorang disarankan menyimpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan pendapatan dalam akaun mudah diakses seperti akaun simpanan atau Tabung Haji.
Jika seseorang tidak mempunyai dana kecemasan yang mencukupi, mereka mungkin terpaksa bergantung kepada pinjaman atau hutang yang boleh membebankan keadaan kewangan mereka dalam jangka panjang.
Bagaimana individu boleh memilih pelaburan yang sesuai dengan profil kewangan mereka?
Pemilihan pelaburan harus disesuaikan dengan objektif kewangan, tahap toleransi risiko dan tempoh pelaburan seseorang.
Sebagai contoh, pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau deposit tetap sesuai bagi mereka yang mengutamakan pulangan stabil dengan risiko minimum. Pelaburan berisiko sederhana, seperti unit amanah, menawarkan pulangan yang lebih tinggi dengan tahap risiko yang sederhana.
Sementara itu, pelaburan berisiko tinggi, termasuk saham dan mata wang kripto, lebih sesuai untuk individu yang bersedia mengambil risiko lebih besar bagi memperoleh potensi pulangan yang lebih tinggi.
Diversifikasi adalah kunci kejayaan dalam pelaburan. Jangan meletakkan semua dana dalam satu jenis pelaburan sahaja, sebaliknya perluaskan pelaburan bagi mengurangkan risiko dan memaksimumkan pulangan.
Mengapa individu perlu membuat semakan laporan kredit mereka?
Semakan laporan kredit amat penting kerana ia memberikan gambaran menyeluruh tentang status kewangan seseorang.
Laporan ini membolehkan individu menilai kelayakan mereka untuk membuat pinjaman, selain membantu mengesan sebarang kesilapan atau ketidaktepatan dalam rekod kredit.
Dengan memahami laporan kredit, seseorang dapat merangka strategi kewangan yang lebih baik, sama ada untuk meningkatkan skor kredit atau mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kebolehan mereka mendapatkan pembiayaan pada masa hadapan.
Oleh itu, rakyat disarankan untuk melakukan semakan kredit secara berkala bagi memastikan kewangan mereka berada dalam keadaan terbaik.
Pengurusan kewangan yang bijak memerlukan disiplin dan perancangan yang rapi.
Dengan meningkatkan literasi kewangan, mengawal perbelanjaan, membina dana kecemasan dan melabur secara strategik, masyarakat dapat mencapai kestabilan kewangan serta kesejahteraan jangka panjang.
Selain itu, kerajaan dan institusi kewangan juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang pengurusan kewangan, bagi memastikan lebih ramai individu mampu membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa depan yang lebih terjamin.-UTUSAN










