Jualan kulit tart KAKEZA melonjak selepas disah halal

Jualan kulit tart KAKEZA melonjak selepas disah halal

NUR Izzah Mohd. Salleh bersama beberapa jenis kulit tart keluaran syarikatnya.-UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KAKEZA, jenama tempatan yang terkenal dengan produk kulit tart, terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perniagaan yang diusahakan oleh Nur Izzah Mohd. Salleh, 45, di bawah Wonderful Touch Enterprise, berjaya berkembang pesat selepas memperoleh sijil halal.

Nur Izzah berkata, syarikat itu bermula pada 2007 dengan menghasilkan kulit tart  secara kecil-kecilan sebelum berkembang menjadi pengeluar utama produk berkenaan.

Menurutnya, selepas beberapa kali berpindah lokasi bagi menampung kapasiti pengeluaran, KAKEZA akhirnya membuka kilang sendiri pada 2023 dan berjaya memperoleh sijil halal dalam tempoh tiga bulan.

“Permintaan daripada pelanggan, terutama pemborong yang mahu produk dengan pengiktirafan halal, menjadi faktor utama kami mengambil langkah ini.

“Sijil halal bukan sahaja membuktikan pematuhan kami terhadap tahap kebersihan dan kualiti, malah meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nur Izzah berkata, selepas memperoleh sijil halal, pasaran KAKEZA berkembang lebih luas, membolehkan syarikat menembusi lebih banyak negeri dan menarik pelanggan baharu.

“Kami sebelum ini hanya fokus di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, tetapi kini permintaan datang dari seluruh Malaysia.

“Dengan adanya sijil halal, kami juga lebih mudah bekerjasama dengan hotel, restoran, dan kedai bahan bakeri yang memerlukan produk halal sebagai syarat utama,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Izzah mengakui terdapat cabaran dalam proses mendapatkan sijil halal, termasuk pelaburan dalam pengubahsuaian premis, pemilihan bahan mentah yang mematuhi piawaian serta keperluan dokumentasi yang ketat.

“Proses ini menuntut komitmen tinggi, tetapi ia satu pelaburan yang berbaloi kerana sijil halal membuka peluang lebih besar untuk berkembang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN