KDNK 2024 berpotensi capai 5.1%, lebih tinggi dari 2023

KDNK 2024 berpotensi capai 5.1%, lebih tinggi dari 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 berpotensi mencapai unjuran kerajaan pada 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran tersebut berada dalam jangkaan kerajaan iaitu antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, lebih tinggi berbanding dari jangkaan awal kerajaan iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus. 

“Ia diubah berdasarkan prestasi KDNK negara yang sangat kukuh pada suku pertama dan kedua, masing-masing pada 4.2 peratus dan 5.9 peratus, manakala suku ketiga terus mengekalkan momentum positif iaitu 5.3 peratus. 

“Sementara itu, suku keempat dijangka lebih rendah pada 4.8 peratus sahaja, walaupun suasana ekonomi dunia lebih mencabar dengan pelbagai faktor geopolitik global. 

“Ini berdasarkan jumlah pelaburan asing dan tempatan yang dilaporkan tinggi terutamanya untuk menyokong industri teknologi maklumat (IT) negara dan pusat data. 

“Tambahan pula jumlah pelancong yang melawat Malaysia juga meningkat lebih 24 peratus dari 2023 dengan 25 juta pengunjung untuk 2024, memberikan kesan gandaan kepada ekonomi negara terutama kepada sektor perkhidmatan dan borong dan runcit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, unjuran itu juga boleh dicapai dengan didorong oleh kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka merancakkan aktiviti peruncitan dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah, seterusnya menyumbang secara positif terhadap momentum keseluruhan ekonomi.

“Sektor pembinaan juga mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi setiap suku 2024, memberikan kesan gandaan kepada pelbagai sektor ekonomi. 

“Projek-projek pembinaan infrasturktur mega seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Trans Borneo menjadi pemangkin utama kepada industri pembinaan.

“Selain itu, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus memberikan kestabilan bukan sahaja kepada pasaran kewangan negara, tetapi juga menstabilkan ekonomi negara lalu membantu perniagaan. 

“Selain itu, rakyat juga lebih mudah merancang dan melaksanakan perancangan masing-masing walaupun dicabar oleh pelbagai faktor,” katanya. 

Aimi Zulhazmi berkata, kecairan tunai yang mencukupi dalam pasaran modal sangat membantu memacu ekonomi domestik negara, di samping kadar inflasi juga terkawal di antara 1.8 peratus hingga 1.9 peratus, iaitu lebih baik dari unjuran awal yang lebih tinggi iaitu antara 2.0 peratus ke 3.5 peratus. 

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, secara umumnya, jangkaan KDNK yang dikeluarkan baru-baru ini adalah konsisten dengan data-data yang telah diumumkan. 

“Sebagai contoh, Indeks Pengeluaran Industri (IPI) mencatatkan pertumbuhan yang sedikit perlahan pada suku ke empat iaitu pada paras 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tempoh yang sebelumnya. 

“Begitu juga dengan pertumbuhan eksport yang menyusut ke paras 7.3 peratus pada suku ke empat berbanding 7.7 peratus pada suku ketiga. 

“Justeru, kita dapat melihat pengeluaran sektor pembuatan memperlahan pada paras 4.5 peratus pada suku keempat berbanding 5.8 peratus pada tempoh sebelumnya. 

“Oleh itu,  jangkaan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu 4.8 peratus seharusnya boleh dikekalkan. Ini sekali gus memberi makna pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2024 dapat dikekalkan pada paras 5.1 peratus,” katanya. 

Beliau berkara, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 boleh dikatakan dalam trajektori yang baik.

“Sekiranya ia dapat dikekalkan, negara Malaysia sepatutnya boleh mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2028. 

“Dengan kestabilan politik maka dasar-dasar yang bersifat reformis boleh dilaksanakan dengan konsisten,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×