MUKADIMAH
SYARIKAT produk jenama tenusu tempatan, Farm Fresh Bhd. sebelum ini dinobatkan sebagai jenama tenusu nombor satu di Malaysia, dengan memenangi Anugerah Platinum buat kali keempat berturut-turut dalam kategori Minuman-Tenusu di Malam Gala Putra Brand Awards 2024.
Lebih membanggakan, Farm Fresh turut meraih anugerah ‘Putra Brand Marketer of the Year’, menerusi inovasi dan kreativiti dalam membina jenama, selain gelaran Putra Brand Icon di atas pencapaian meraih Anugerah Platinum untuk empat tahun berturut-turut.
Bagi kumpulan Farm Fresh pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak lima peratus setiap tahun bagi memastikan produk mereka dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.
Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, AZMI ZAINAL berkongsi pandangan mengenai amalan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam keseluruhan syarikat itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI ketika ditemui di Farm Fresh, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana Farm Fresh memastikan amalan pertanian mampan dan tidak merosakkan ekosistem tempatan?
AZMI: Pelaksanaan amalan pertanian yang mampan adalah penting untuk mengurangkan kesan alam sekitar di seluruh operasi kami.
Setiap ladang kami telah mendapat sijil MyGap iaitu Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Pertanian.
Ia adalah sijil yang membuktikan bahawa amalan-amalan pertanian yang baik dan mampan telah dilaksanakan di ladang-ladang kami bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti serta menjaga keselamatan alam sekitar serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.
Apakah inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk mengurangkan sisa makanan dan meningkatkan amalan kitar semula dalam proses pengeluaran?
Amalan kitar semula dalam proses pengeluaran telah dilaksanakan melalui pengeluaran produk-produk kami yang mesra alam sekitar dan menggunakan pek yang boleh dikitar semula dan pendidikan tentang alam sekitar melalui pusat pendidikan kitar semula yang kami bina dia ladang kami di Selangor.
Apakah sasaran ESG utama yang ditetapkan oleh Farm Fresh dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?
Sasaran kumpulan Farm Fresh adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak lima peratus setiap tahun.
Bagaimana Farm Fresh menilai kejayaan inisiatif ESG setakat ini? Apakah pencapaian yang boleh dibanggakan?
Seluruh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia termasuk Farm Fresh telah menjalani penilaian penarafan ESG dari FTSE Russell.
Kami bersyukur atas pengiktirafan dari pihak Bursa Malausia melalui penarafan ESG dari FTSE Russell, kami mendapat rating yang baik (tiga bintang dari empat bintang).
Pencapaian tersebut adalah satu tanggungjawab buat kami untuk terus konsisten dalam usahasama menjaga kelestarian alam sekitar.
Apakah cabaran terbesar yang dihadapi Farm Fresh dalam melaksanakan sasaran ESG mereka dan bagaimana syarikat merancang untuk mengatasinya?
Cabaran terbesar kami adalah untuk memastikan inisiatif yang dijalankan berterusan untuk jangka masa panjang dan membawa impak yang baik untuk alam sekitar.
Beberapa inisiatif seperti loji biogas di Muadzam akan dilaksanakan di ladang-ladang kami seluruh negara dan bagi memastikan Farm Fresh terus mengurangkan pelepasan karbon dioksida selaras dengan pengembangan syarikat.
Adakah Farm Fresh terbuka untuk bekerjasama dengan pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kerajaan dalam usaha meningkatkan inisiatif ESG syarikat?
Pada 2024, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah mengadakan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat negeri Johor dengan kerjasama Farm Fresh dan beberapa syarikat lain.
HASN disambut pada 21 Oktober setiap tahun di mana satu deklarasi yang ditandatangani pada tahun 1989 oleh Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang menyentuh isu-isu alam sekitar di antara negara Komanwel. Oleh yang demikian, Farm Fresh dengan usahasama kerajaan negeri Johor dan syarikat lain telah menyertai program tersebut bagi menyemaikan kepentingan penjagaan alam sekitar dan terus komited dalam usaha meningkatkan inisiatif ESG kami.
Antara usaha dan inisiatif yang telah dijalankan adalah penanaman pokok di Sireh Park dan beberapa program kesedaran alam sekitar yang lain.
Selain itu, bagaimana sambutan yang diterima oleh rakyat Malaysia mengenai produk Farm Fresh?
Rakyat Malaysia setakat ini memberi sokongan yang tak berbelah bahagi untuk kami.
Ramai pelanggan tetap yang sentiasa membeli susu kami kerana rasa yang lain dari jenama lain, kerana kualiti bahan yang kami guna.-UTUSAN










