PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil manfaat sempena Malaysia menerajui Kepengerusian ASEAN 2025 untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta)
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, pasaran rantau Asia Tenggara mempunyai banyak persamaan dengan pasaran tempatan.
“Oleh itu, ini boleh dijadikan sebagai papan lonjakan untuk menguji kesediaan PKS untuk mengeksport atau berkembang ke peringkat global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, 2025 juga akan menyaksikan perkembangan pesat dari segi keperluan pematuhan piawaian prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peralihan ke ekonomi rendah karbon.
“Ini boleh menjadi peluang dan juga cabaran kepada PKS dan kita perlu memahami trend ini dan bersiap sedia menghadapinya,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, krisis kos perniagaan dijangka akan berterusan dengan pembekal seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah pun mengumumkan hasrat mereka untuk menaikan tarif.
“Kos lojistik, utiliti, pematuhan termasuk cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) turut dijangka akan naik pada 2025.
“Untuk PKS yang bermargin rendah, penerima gunaan digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan memastikan kesinambungan perniagaan kita,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya akan mengambil peluang mempersiapkan ahli untuk bersedia sempena Kepengerusian ASEAN tidak lama lagi.
“Kami juga telah memastikan ahli-ahli dengan kemahiran perniagan untuk ke pasaran luar negara.
“Malah, baru-baru ini DPMM telah ke Tokyo, Jepun, Indonesia dan Singapura bagi menjalinkan hubungan baik dengan negara luar,” katanya.
Norsyahrin juga berharap pada 2025 ekonomi negara akan bertambah stabil dan usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka.
Pada tahun ini, organisasi itu akan memperingati ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan Malaysia menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang menetapkan keutamaan strategik untuk 20 tahun akan datang.
Pada 22 Oktober 2024, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Malaysia komited untuk membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara luar melalui dialog yang berterusan, diplomasi dan semangat muhibah semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.
Beliau berkata Malaysia bersama negara anggota lain berhasrat untuk memperluaskan perkongsian ekonomi dengan negara-negara di luar sempadan ASEAN.
Malaysia juga akan terus berusaha mendapatkan komitmen yang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalaman ASEAN, sambil memastikan organisasi itu dapat memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi serta memperoleh faedah daripada transformasi digital dan teknologi baharu.
Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.-UTUSAN










