BERMULA ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usahawan Kopi & Kueh, Mohd. Helmy Fathil, 33 dan isterinya, Nur Farahin Abdul Kadir, 32 membuka perniagaan makanan dan minuman bagi mengisi masa waktu lapang ketika di rumah, Lenggeng, Negeri Sembilan.
Idea itu diilhamkan pada 2020, apabila Mohd. Helmy menggunakan sebuah lokasi kedai di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson untuk menjalankan perniagaan kopi dan kuih serta pastri dan kini mampu menjana pertumbuhan jualan mencecah RM80,000 sebulan, berbanding RM30,000 hingga RM40,000 sebulan sebelum ini.
Mohd. Helmy berkata, pada 2019, dia dan isterinya membeli mesin kopi dan sering membuat pelbagai jenis kuih serta kek
“Kebetulan jiran bagi maklum balas positif dan beritahu kuih dan kek sedap. Pada mulanya, kami mulakan pada depan rumah sahaja, namun, apabila telah mula ada pelanggan kami memulakan perniagaan di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson berdekatan rumah keluarga.
“Kami menggunakan modal sebanyak RM20,000 untuk membuka sebuah kedai pada 2020 dan Alhamdulillah perniagaan semakin baik dan diterima pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Helmy kini masih bekerja sepenuh masa sebagai seorang tenaga pengajar bahagian jualan dan teknikal di sebuah syarikat swasta, manakala Nur Farahin pula bertugas sebagai pegawai sumber manusia di ibu negara.
Jelasnya, pada awalnya, dia dan isteri hanya memfokuskan kuih tradisional namun, tidak mendapat sambutan.
“Kebanyakan orang Malaysia gemar makanan manis seperti pastri, jadi kami menukarkan konsep kedai kami dengan pastri dan kopi,” katanya.
Kopi & Kueh kini menjual lebih 20 jenis minuman dengan harga bermula RM10 ke RM15, manakala makanan seperti pasta (RM15), serta pizza bawah harga RM30.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) TESL dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Management and Science University (MSU) pada 2017 itu kini mempunyai dua buah cawangan di Port Dickson termasuk cawangan baharu di Kopi & Kueh By The Beach, Jalan Pantai, Port Dickson.
Mohd. Helmy turut memaklumkan, sebelum membuka kedai kopi dia dan isterinya sering mencuba pelbagai jenis kopi di kedai kopi lain.
“Saya sejujurnya tidak ada mempelajari sebarang teknik membuat kopi, namun mempelajarinya dari masa ke semasa bagi memastikan rasa kopi yang diminati pelanggan menetapi citarasa.
“Kami juga pernah mengalami kerugian mencecah RM1,000 kerana peti sejuk yang rosak dan terpaksa membuang semua makanan,” katanya.
Bagi memastikan Kopi & Kueh kekal relevan, mereka akan sentiasa menukar beberapa menu dan mencuba mengikut mempelbagaikan menu mengikut musim perayaan.
Mohd. Helmy turut menasihatkan para usahawan agar tidak terus membuat sebarang pinjaman untuk menjalankan perniagaan.
“Boleh guna barangan atau mesin yang ada dahulu dan teruskan perniagaan dahulu. Pastikan perniagaan berada dalam keadaan stabil dan sentiasa perbaiki selok-belok perniagaan untuk kekal maju,” katanya.-UTUSAN










