Prasarana rancang beralih kepada bas EV dalam 5 tahun

Prasarana rancang beralih kepada bas EV dalam 5 tahun

MOHD. AZHARUDDIN MAT SAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali  Rapid KL merancang untuk menukar semua bas di bawah operasinya kepada kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, perancangan yang teliti diperlukan bagi menukar semua bas kerana ia memerlukan sumber kuasa yang lebih tinggi untuk mengecas bas-bas tersebut.

“Katakan kami ada 1,200 bas yang ditukar. Jadi kami perlu bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhd (TNB) untuk membuat perancangan mengenai bekalan tenaga. 

“Selain itu, kami juga perlu mengambil kira tentang kabel dan menyediakan station pengecas yang mencukupi untuk bas-bas ini.

“TNB akan menyediakan bekalan tenaga dan kami akan buat tender untuk depoh. Pelaburan untuk membina infrastruktur bekalan tenaga ini sahaja dijangka kira-kira RM2 bilion hingga RM3 bilion,” katanya ketika ditemui di pejabatkan di Ara Damansara, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Azharuddin berkata, sejajar dengan pelan peralihan tersebut, sebanyak 250 unit bas EV akan diterima secara berperingkat bermula suku keempat tahun
2025.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 150 adalah bas midi, manakala 100 lagi adalah bas panjang.

Jelasnya, sebanyak 200 bas tersebut akan ditempatkan di Kuala Lumpur, manakala selebihnya akan beroperasi di Pulau Pinang.

“Kami sedang mengadakan tender terbuka. Jika dilihat pada pasaran harga sebuah bas EV panjang adalah RM1.5 juga dan kalau yang lebih kecil mungkin lebih rendah sekitar RM1.1 juta hingga RM1.2 juta,” ujarnya.

Tambahnya, pelan jangka panjang untuk peralihan kepada EV tersebut juga akan melibatkan  perkhidmatan van berkonsepkan atas permintaan atau Demand-Responsive Transit (DRT).

“Buat masa ini, kami ada 20 buah van DRT beroperasi pada Jun 2024 dan sebanyak 300 unit van diesel lagi akan beroperasi pada suku pertama 2025.

“Ini adalah pembelian van diesel terakhir kami. Selepas itu, kami akan bertukar kepada EV dan perkara tersebut dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN