Carlo Rino Group sasar berkembang di Asia Tenggara

Carlo Rino Group sasar berkembang di Asia Tenggara

CARLO Rino merancang untuk membuka butik utama di Jalan Imbi yang akan menampilkan koleksi beg tangan, kasut, dan aksesori wanita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Carlo Rino Group Berhad (Carlo Rino) berhasrat untuk mengembangkan jangkauan pasaran ke negara-negara lain di rantau Asia Tenggara, secara progresif dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang akan datang.

Pengarah Urusan Kumpuan Carlo Rino, Datuk Seri Chiang Fong Yee berkata, perancangan itu akan di buat secara digital melalui penggunaan pengoptimuman enjin carian di dalam talian. 

“Ini adalah usaha untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan produk kami di dalam talian serta memanfaatkan platform e-dagang pihak ketiga untuk memasarkan dan menjual produk kami ke pasaran luar negara.

“Melalui pasaran e-dagang pihak ketiga tersebut, kami dapat memanfaatkan platform mereka untuk memasarkan dan mempromosikan produk kami kepada kumpulan pelanggan sasaran yang lebih besar. 

“Syarikat kami mempunyai Kedai Dalam Talian Carlo Rino (https://www.carlorino.net/), di mana maklumat mengenai rangkaian produk terkini kumpulan dipaparkan dan boleh diakses di seluruh dunia oleh pelanggan-pelanggan kami, ka­tanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, Carlo Rino telah mengenal pasti peluang pertumbuhan melalui peluasan rangkaian runcit and platform e-dagang dalam talian untuk memperkukuh kehadiran jenama di pasaran domestik dan antarabangsa. 

“Melalui penyenaraian kami di Pasaran ACE di Bursa Malaysia Securities Berhad, syarikat kami akan memiliki keupayaan modal yang lebih kukuh untuk melaksanakan rancangan pengembangan ini. 

“Namun, kami sedar akan cabaran yang mungkin timbul, seperti perubahan dalam selera pengguna dan ketidakstabilan ekonomi global. 

“Oleh itu, kami kekal fokus pada penyelidikan pasaran dan usaha reka bentuk dan pembangunan (D&D) produk bagi memastikan jenama Carlo Rino kekal relevan dan kompetitif dalam industri ini,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai penyenaraian syarikat itu di Pasaran Ace, beliau berkata, Carlo Rino telah menetapkan beberapa strategi perniagaan dan rancangan masa depan untuk mengukuhkan lagi jenama itu. 

“Antaranya, Carlo Rino turut merancang membuka butik utama di Jalan Imbi yang akan menampilkan koleksi beg tangan, kasut, dan aksesori wanita. 

“Butik ini akan menawarkan pengalaman membeli-belah yang eksklusif dengan pelbagai perkhidmatan sampingan seperti kedai makanan dan butik gaya hidup bertujuan meningkatkan daya tarikan jenama, aliran pelanggan, dan jualan produk.

“Selain itu, syarikat juga bercadang untuk memperoleh hartanah di lokasi strategik bagi membuka galeri pameran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN