Raptor Diesel - Bukan untuk prestasi

Raptor Diesel – Bukan untuk prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORD Ranger Raptor sememangnya trak prestasi yang tiada pesaing.

Ia duduk bersendirian di dalam kategori dan kelompok harganya, dan jika dahulu kita cuma ada satu varian sahaja – Ranger Raptor 3.0L V6 Twin-Turbo, kini Ford Malaysia turut menawarkan Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel.

Sayangnya, beza harga cuma RM14,000 sahaja iaitu RM248,888 untuk Raptor Diesel dan RM262,888 untuk yang menggunakan petrol.

Jadi, yang mana lebih sesuai?

Penulis sudah beberapa kali memandu varian petrol dan mendapati trend kuasa yang digunakan (2,956cc V6 petrol dengan turbo berkembar) cukup mengujakan.

Walaupun besar daripada Ranger biasa, tenaga sebanyak 397PS dan 583Nm cukup menyeronokkan di laluan off-road. Hantaran tenaga tidak putus-putus masuk, biar pada kelajuan enjin apa pun.

Sayangnya, penggunaan bahan api mengerikan dompet dan pengurus bank penulis – susah untuk mendapatkan bacaan di bawah 15 liter per 100 kilometer (km).

Setangki petrol bersaiz 80 liter itu cuma mampu bertahan sejauh antara 350 ke 550km, bergantung pada cara pemanduan.

Jika keseronokan menjadi kayu pengukur, memang Ranger Raptor petrol itu patut didirikan sebuah tugu kerana tidak ada trak pikap yang mempunyai prestasi sehebatnya.

Sayangnya, jika kita perlukan sebuah Raptor untuk bekerja atau berjalan jauh, Raptor 2.0L Bi-Turbo diesel adalah jawapannya.

Penulis sempat memandu uji Raptor diesel itu selama lima hari – memandunya di kawasan bandar, laluan persekutuan, lebuh raya dan juga off-road.

Dari segi luaran, Raptor 2.0L Bi-Turbo diesel memang 98 peratus sama dengan varian yang petrol. Apa yang berbeza ialah Raptor diesel tidak mempunyai pelekat grafik di sisi badannya dan yang paling ketara, tiada dua muncung ekzos terjojol keluar di bawah bamper belakang.

Di dalam kabin, beberapa butang di konsol tengah dan pada stereng sudah lenyap bersama fungsi-fungsinya.

Enjin diesel yang digunakan oleh Raptor adalah sama seperti yang digunakan oleh Ranger XLT Plus, Ranger Wildtrak dan Ranger Platinum.

Ia menghasilkan 210PS dan 500Nm melalui transmisi 10 kelajuan automatik (kotak gear sebenarnya sama untuk semua, termasuk Raptor petrol).

Ini menjadikan Raptor diesel mempunyai defisit tenaga sebanyak 187PS dan 83Nm berbanding dengan varian 3.0L V6 Twin Turbo petrol.

Varian berenjin diesel juga terpaksa menggunakan ekzos yang khusus untuk bahan api itu, bermakna tidak ada lagi dua corong yang menghasilkan bunyi segarang Raptor petrol.

Kekurangan tenaga itu cukup dirasai, walaupun bila Raptor diesel dibandingkan dengan Raptor marhaen seperti XLT-Plus.

Ini ialah kerana Raptor diesel mempunyai tayar yang jauh lebih lebar dari XLT Plus. Sedikit menghairankan penulis di mana risalah Ford Malaysia menunjukkan berat Raptor lebih ringan dari XLT Plus.

Malah, kesemua varian Ranger biasa dari Platinum hingga ke Wildtrak, XLT Plus SE, XLT Plus dan XLT mempunyai berat kasar yang sama (3,230kg). Malah berat kerb juga sama (2,227kg) walhal aksesori dan saiz roda aloi semuanya berbeza.

Di atas jalan raya, Raptor diesel sama selesa seperti versi petrol. Cuma tanpa bunyi ekzos yang garang, Raptor diesel kurang rasa istimewa.

Bila meredah kawasan off-road, penulis dapati Raptor diesel juga cuma mempunyai e-Locking Differential di sebelah belakang sahaja.

Raptor petrol juga boleh meredah air yang lebih dalam – 850 milimeter (mm) berbanding 800mm untuk diesel.

Apa yang positif tentang Raptor diesel ialah penggunaan bahan api yang mantap – penulis dengan mudah mencapai jarak perjalanan melebihi 700km dari setangki diesel (80 liter).

Inilah kelebihan sebenar diesel, di mana ia menghasilkan tenaga maksimum dari kelajuan enjin (rpm) yang lebih rendah. Enjin yang berputar perlahan ini juga akan lebih lasak dan lebih efisien.

Kebolehan untuk bergerak lebih jauh dari setangki bahan api ialah satu yang tidak boleh kita abaikan, terutama menjelang pertengahan 2025 bila subsidi petrol juga akan dirasionalisasikan.

Tepuk dada tanya selera, tetapi jika poket yang ditepuk, pastinya Raptor diesel yang akan dicadangkan. – UTUSAN

SPESIFIKASI
Ford Raptor 2.0L Bi-Turbo diesel
Enjin
1,996 cc 4-silinder sebaris turbo berkembar EcoBoost
Tenaga maksimum: 210PS @ 3,750rpm
Daya kilas maksimum: 500Nm dari 1,750 – 2,000 rpm
Transmisi: 10 kelajuan automatik dan sistem 2H, 4A, 4H dan 4L
Harga: RM248,888
Waranti: 5 tahun atau 160,000km

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN