PETALING JAYA: Syarikat peneraju pengurusan dan perancangan kewangan, Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. (Planworth) terus komited dalam membantu usahawan tempatan selepas menerima Anugerah Enterprise 50 (E50).
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy berkata, anugerah yang diterima ini merupakan hasil kepercayaan penyertaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan dan penghargaan besar kepada syarikat.
Menurutnya, Planworth tidak berniaga semata-mata untuk anugerah dan keutamaan syarikat adalah membantu lebih ramai perniagaan tempatan mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik, sama ada syarikat kecil atau syarikat besar.
“Kami percaya kepada konsep memberi bantuan dengan ikhlas dan menikmati kejayaan bersama pelanggan yang dibantu dengan objektif memperkasakan serta mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.
“Membantu keperluan kewangan dan menggembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat Planworth.
“Perniagaan yang berkembang mengukuhkan ekonomi negara seterusnya memberi banyak peluang kepada orang ramai dari segi pekerjaan, perniagaan dan lain- lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Kuek, pemilihan syarikat dalam E50 bukan sahaja mengukuhkan jenama Planworth di pasaran malah meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kewangan yang ditawarkan.
“Anugerah E50 yang diterima menandakan kejayaan besar usaha pasukan pengurusan syarikat dan mengesahkan peranan kami sebagai rakan strategik kepada pertumbuhan perniagaan tempatan.
“Perkara ini secara tidak langsung telah memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
Katanya, sejak tahun lalu, Planworth telah mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan menyasarkan peningkatan kepada RM700 juta pada tahun ini dan secara keseluruhan dari awal penubuhan syarikat, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion ke dalam ekonomi negara.
“Kami membantu perniagaan yang tidak hanya mempunyai rekod kewangan yang baik tetapi juga yang menghadapi masalah kewangan termasuk yang memiliki rekod kewangan kurang baik dengan institusi kewangan lain.
“Kami percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua dan mempelajari sesuatu yang penting daripada pengalaman lepas.
“Selain bantuan kewangan, pihak kami turut memberi khidmat nasihat kepada usahawan agar mereka bukan sahaja mengembangkan perniagaan mereka, tetapi menguruskan aliran tunai dengan baik,” ujarnya.-UTUSAN









