PETALING JAYA: Ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.00 hingga RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Pada 5 petang semalam, mata wang negara susut kepada 4.2850/2900 berbanding dolar AS daripada 4.2800/2900 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penyusutan nilai ringgit ini amat bergantung kepada jangkaan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Buat masa ini, data pasaran buruh di AS mengukuh. Justeru, pihak Fed dilihat tidak perlu terburu-buru untuk mengurangkan kadar faedah
“Selain itu, faktor konflik ketenteraan di Asia Barat juga memainkan peranan dalam meningkat nilai dolar AS berikutan selera risiko yang merosot.
“Keadaan ketidakpastian ini telah menyebabkan permintaan dolar AS meningkat disebabkan status dolar AS yang dikatakan sebagai mata wang selamat atau ‘safe haven’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, beliau menjangkakan ringgit akan berada pada paras RM4.00 hingga RM4.10.
“Hal ini disebabkan, naik turun ringgit mengikut sentimen ekonomi dan dunia. Ia turut bergantung dengan pasaran pilihan raya presiden di AS,“ katanya.
Beliau menjelaskan, ekonomi Malaysia masih kukuh dan dijangka akan mencapai antara 5.0 hingga 5.4 peratus tahun ini.
“Selain itu, perlu diambil kira keadaan ekonomi AS dan dunia. Hal ini kerana, dolar dilihat kukuh semula, maka mata wang lain termasuk ringgit turun. Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dilihat masih kukuh,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ringgit belum mencapai nilai saksama walaupun mencatatkan peningkatan berbanding dolar AS.
Beliau berkata, walaupun mata wang Malaysia muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara, ia masih berada di bawah nilai sebenar iaitu RM4.10 berbanding dolar AS.-UTUSAN










