PETALING JAYA: Public Bank Bhd. menggantung urusniaga di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) semalam, susulan laporan bank ini dijangka membeli pegangan keluarga mendiang pengasasnya, Teh Hong Piow dalam Lonpac Insurance Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, bank mengumumkan menggantung urusniaga untuk saham biasa berkuatkuasa 9 pagi hari itu hingga 5 petang hari ini bagi menunggu pengumuman penting.
“Permintaan untuk penggantungan dibuat di bawah subperenggan 3.1(c) Nota Amalan 2 mengenai Permintaan Penggantungan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities,” katanya.
Terdahulu, pemberi pinjaman kedua terbesar Malaysia mengikut nilai pasaran tersebut telah membuat permintaan untuk penggantungan tersebut pada Selasa.
Rentetan itu, LPI Capital Bhd., pemilik sepenuhnya Lonpac Insurance turut menggantungkan urusniaga di Bursa Securities bermula 9 pagi semalam.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut, bank dijangka membayar secara tunai dan saham untuk hampir 43 peratus kepentingan Consolidated Teh Holdings Sdn. Bhd. dalam LPI Capital.
“Perjanjian berpotensi akan mencetuskan pembelian baki LPI. Public Bank mahu memperoleh syarikat insurans itu kerana ia bertujuan untuk menjadi bank universal sepenuhnya dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan,” kata sumber tersebut.
Saham LPI telah meningkat kira-kira sembilan peratus tahun ini, memberikan syarikat itu nilai pasaran sebanyak RM5.2 bilion.
Sementara itu, saham Public Bank telah meningkat 6.5 peratus kepada nilai RM88.7 bilion.
Ditubuhkan pada 1962 sebagai London & Pacific Insurance Co., LPI ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan.
Ia menggunakan nama sekarang pada 1999 selepas memindahkan perniagaan insuransnya kepada anak syarikat Lonpac.
Public Bank yang ditubuhkan pada 1966 mempunyai 293 cawangan di Malaysia dan 157 di luar negara.
Menurut laman web bank, Public Bank mempunyai jumlah aset kira-kira RM493 bilion dan pengasasnya meninggal dunia pada 2022 pada usia 92 tahun.-UTUSAN










