PETALING JAYA: Kerajaan dijangka membentangkan peruntukan yang lebih tinggi, melebihi RM400 bilion dalam Belanjawan 2025, berbanding RM393.8 bilion pada 2024, berikutan hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi serta pengenalan cukai baharu, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peruntukan Belanjawan 2025 dijangka sekitar RM390 bilion hingga RM400 bilion.
Katanya, sektor pendidikan dan kesihatan akan terus menjadi fokus utama dalam peruntukan kerajaan untuk belanjawan kali ini.
“Ini kerana, dua sektor ini penting bagi menghasilkan guna tenaga yang berdaya saing dan produktiviti tinggi.
“Dalam pada itu, keperluan bagi peralihan tenaga serta menggalakkan sektor yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi (HGHV) juga akan diberi perhatian supaya aktiviti ekonomi negara akan terus berdaya saing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas mengenai sama ada cukai baharu akan diperkenalkan, beliau berkata, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin tidak akan dilaksanakan.
“Seperti yang dimaklumkan (oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), GST boleh dilaksanakan sekiranya tangga gaji minimum meningkat ke paras antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
“Justeru, GST mungkin tidak dilaksanakan. Oleh itu, mungkin ada cukai baharu atau penambahbaikan cukai sedia ada seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) supaya ia boleh menambah pendapatan kerajaan.
“Saya rasa pengenalan e-Invois akan banyak membantu dalam meningkatkan ketelusan dan pematuhan cukai yang akan membantu dalam menaikkan hasil kutipan cukai,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut mengunjurkan peruntukan Belanjawan 2025 lebih tinggi daripada 2024 iaitu lebih RM400 bilion.
Katanya, ini didorong oleh peningkatan hasil dari eksport yang semakin meningkat dan harga komoditi yang kekal tinggi.
“Sektor pendidikan dan kesihatan kekal menjadi agenda utama untuk rakyat. Namun sektor lain seperti agromakanan, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui (TBB) akan turut diberi perhatian,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan pengenalan cukai baharu, sebaliknya kerajaan mungkin melakukan penambahbaikan ke atas cukai sedia ada.-UTUSAN










