Northeast Group tampil di Pasaran ACE pada 53 sen

Northeast Group tampil di Pasaran ACE pada 53 sen

LEE Kah Choon (tiga kanan) bersama ahli lembaga pengarah kumpulan semasa majlis penyenaraian tersebut di Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Northeast Group Berhad tampil di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada harga 53 sen yang mewakili 3.0 sen atau enam peratus premium daripada harga terbitan 50 sen sesaham, dengan jumlah pembukaan sebanyak 22.71 juta saham.

Pengerusinya, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata, melalui tawaran awam permulaan (IPO) itu yang melibatkan penawaran sebanyak 169.0 juta saham baharu dan 51.8 juta saham sedia ada, syarikat berjaya mengumpul hasil kira-kira RM84.49 juta.

“Daripada jumlah ini, RM40.0 juta diperuntukkan untuk pembinaan kilang baharu, manakala RM20.0 juta akan digunakan bagi bayaran balik sebahagian pinjaman bank. 

“Ini diikuti kira-kira RM12.4 juta yang diperuntukkan untuk pembelian 36 mesin kawalan berangka komputer baharu selaras dengan rancangan kumpulan untuk mengembangkan asas pelanggan kami dan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa majlis penyenaraian tersebut di Bursa Malaysia, semalam. 

Memandang ke hadapan, beliau berkata, kumpulan kekal komited untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam inovasi dan kecemerlangan operasi. 

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kami dengan tahap integriti dan dedikasi yang sama seperti yang telah membawa kami ke tahap ini. 

“Bersama-sama, marilah kita membuka peluang baharu, mengembangkan kehadiran pasaran dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi dengan memperkenalkan ‘Jenama Baharu Ketepatan & Kepersisan’,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2025, beliau berharap kerajaan dapat memperincikan lagi mengenai Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang telah diumumkan dari segi strategi semikonduktor negara. 

“Kami ingin melihat dengan lebih jelas bagaimana kerajaan akan memberi insentif kepada industri elektronik yang akan memberi manfaat kepada Asia Barat dan ini adalah sesuatu yang kami nantikan. 

“Keduanya adalah inisiatif dalam hal bakat amat penting kerana negara tidak boleh bergerak ke hadapan dan tidak dapat mempunyai ekonomi yang mampan tanpa bakat yang mencukupi untuk memacu ekonomi. 

“Sudah tentu, kemudahan dalam menjalankan perniagaan juga sangat penting kerana kita hidup dalam dunia yang sangat kompetitif,” katanya. 

Tambahnya, kerajaan perlu melihat bagaimana mereka boleh memudahkan urusan perniagaan dan menjadi lebih kompetitif berbanding dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain. 

“Ini adalah harapan keseluruhan yang diinginkan oleh industri pembuatan secara umum,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN