PETALING JAYA: Keupayaan bayaran balik hutang isi rumah dan perniagaan secara keseluruhan kekal utuh berikutan standard pemberian pinjaman yang kukuh oleh bank-bank, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Pertama tahun 2024 berkata, peminjaman isi rumah yang berisiko lebih tinggi untuk mungkir telah menurun kepada 4.4 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah berbanding 4.8 peratus pada Disember 2023.
Katanya, angka ini mencerminkan bayaran balik pinjaman yang berterusan oleh kebanyakan isi rumah.
“Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal tidak berubah secara keseluruhan pada 83.8 peratus berikutan hutang isi rumah yang berkembang sejajar dengan kadar kegiatan ekonomi.
“Median nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan (DTI) juga secara relatif stabil. Standard pemberian pinjaman berhemat oleh bank-bank kekal penting dalam memastikan pengumpulan hutang isi rumah selaras dengan keupayaan membayar balik hutang.
“Sehubungan itu, ukuran kemampuan pembayaran balik hutang termasuk median nisbah khidmat hutang (DSR) juga terus berada pada paras berhemat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, BNM berkata, sektor perniagaan secara keseluruhan kekal berdaya tahan terhadap cabaran memperlihatkan kualiti kredit pinjaman perniagaan kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas yang stabil pada 2.6 peratus daripada pinjaman perniagaan.
Jelasnya, bahagian perusahan kecil dan sederhana (PKS) dengan pinjaman yang gagal dibayar juga telah menurun.
“Selaras dengan hal ini, bahagian PKS yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman menunjukkan trend yang lebih rendah kepada 4.7 peratus daripada jumlah pinjaman PKS (atau 0.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan).
“Sebahagian besar PKS yang telah menamatkan program bantuan bayaran balik pinjaman juga mampu mengekalkan bayaran balik pinjaman masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, daya tahan perniagaan dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua 2024 sejajar dengan unjuran kegiatan ekonomi yang terus berkembang.
Bank pusat berkata, penampan kukuh yang dikekalkan oleh bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful akan terus memelihara daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian luar jangka.
“Setakat akhir Jun 2024, nisbah jumlah modal agregat sistem perbankan berada pada 18.4 peratus, dengan penampan modal sebanyak RM136.1 bilion melebihi jumlah minimum pengawalseliaan.
“Sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 227 peratus dan lebihan penampan modal sebanyak RM37.4 bilion,” ujarnya.
Jelasnya, kedudukan ini akan membolehkan bank-bank untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang. – UTUSAN










