PETALING JAYA: Cukai warisan boleh diperkenalkan semula dalam Belanjawan 2025, tetapi harus melibatkan hartanah bernilai RM1 juta ke atas sahaja, kata penganalisis.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, cukai warisan ini boleh dikenakan kepada golongan kaya iaitu nilai ambang untuk dikenakan cukai tersebut adalah tinggi.
Katanya, ini melibatkan segmen masyarakat yang terdiri daripada individu atau keluarga yang kaya, termasuk mereka yang mempunyai pendapatan atau kekayaan yang tinggi termasuk golongan elit yang mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi, pelaburan dan gaya hidup.
“Ini bermakna, jika ada ibu bapa yang meninggal dan mempunyai hartanah kurang dari RM1 juta, tidak dikenakan cukai. Tetapi jika hartanah yang ditinggalkan itu nilainya amat tinggi maka, boleh dikenakan cukai warisan sebab keluarga tersebut mampu membayarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan mengenakan cukai kepada golongan tersebut, ia membolehkan jumlah kutipan dari cukai warisan akan menjadi minimum.
“Selain itu, mereka (golongan kaya) berkemungkinan akan memindahkan hak milik hartanah kepada anak mereka dengan lebih awal sebelum mereka meninggal bagi mengelakkan cukai warisan ini,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, pengenalan semula cukai warisan dengan penambahbaikan serta penstrukturan semula secara besar-besaran untuk kebaikan rakyat dalam Belanjawan 2025.
Jelas beliau, pengenalan cukai ini akan menggalakkan orang Islam untuk menguruskan aset mereka sebelum mereka meninggal.
“Tujuan asal penghapusan cukai tersebut pada tahun 1991, adalah untuk tidak membebankan rakyat, namun kesannya sekarang berlaku kelemahan dalam pengurusan harta warisan iaitu sehingga 2022 jumlah harta yang dibekukan amatlah tinggi.
“Aset beku pada 2004 berjumlah RM15 bilion tetapi telah meningkat selama bertahun-tahun.
“Pada 2014, jumlah itu mencecah RM66.6 bilion dan anggaran terkini setakat 2020 adalah antara RM70 bilion dan RM90 bilion,” katanya.
Menurut Aimi Zulhazmi, komplikasi kepada orang Islam di Malaysia menyebabkan pembekuan aset yang tidak produktif kepada negara.
“Untuk bukan Islam pula, lebih mudah kerana pengagihan aset mereka di Malaysia dikawal oleh Akta Pembahagian 1958 (Akta 300).
“Akta ini menggariskan hierarki yang jelas bagi benefisiari dan menentukan cara bahagian harta pusaka mereka dikira.
“Sekiranya mereka menulis wasiat untuk pembahagian yang mereka sukai melalui Akta Wasiat 1959 (Pindaan 1988) pula, jelas juga kerana sekiranya seseorang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, harta pusaka si mati akan dibahagikan mengikut syarat wasiat,” katanya.-UTUSAN










