ISKANDAR PUTERI: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City, di sini bakal menjadi lokasi pertama, sekali gus hab bagi pejabat kekayaan keluarga atau firma pengurusan individu kaya, khususnya di rantau ini.
Antara tarikan yang diberi menerusi skim itu termasuk sifar cukai terhadap keuntungan pelaburan yang diperoleh bagi tempoh beberapa tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif dikenali sebagai Skim Pejabat Keluarga Tunggal itu akan diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
“Ketika ini terdapat 8,030 pejabat kekayaan keluarga di seluruh dunia dan ia diunjurkan berkembang sebanyak 75 peratus kepada lebih 10,720 pejabat kekayaan keluarga menjelang 2030.
“Jumlah anggaran aset di bawah pengurusan pejabat kekayaan keluarga dijangka meningkat menjadi RM22.6 trilion pada 2030 berbanding RM12.9 trilion ketika ini. Skim ini dijangka akan bermula pada suku pertama 2025.
“Sektor ini kurang di Malaysia. Jadi, menerusi SFZ Forest City kita mahu melonjakkannya. Forest City adalah lokasi yang ideal kerana berhampiran dengan Singapura dan mempunyai infrastruktur lengkap bagi tujuan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di sini semalam.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan merasmikan majlis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan dua Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman serta Datuk Md. Othman Yusof.
Amir Hamzah berkata, selain sifar cukai, kerajaan turut mengumumkan beberapa insentif SFZ Forest City yang selari dengan Kerangka Ekonomi Madani, termasuk kadar cukai korporat konsesi antara sifar dan lima peratus serta kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15 peratus bagi pekerja berpengetahuan dan rakyat Malaysia yang memilih bekerja di SFZ.
“Insentif ini dijangka akan dapat menarik perniagaan, institusi kewangan dan individu bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan kedudukan Forest City sebagai destinasi pelaburan pilihan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan Forest City bakal menjadi hab bagi perkhidmatan perniagaan global kewangan, teknologi kewangan dan pengendali sistem pembayaran asing.
“Kita mahu jadikan SFZ Forest City ini sebagai hab kewangan antarabangsa seperti di Shenzen, China dan Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya. – UTUSAN










