Ringgit capai paras tertinggi dalam tempoh hampir 35 bulan

Ringgit capai paras tertinggi dalam tempoh hampir 35 bulan

ringgit
Ringgit didagang lebih tinggi berbanding dolar berikutan keyakinan rundingan perdagangan Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencapai paras tertinggi dalam tempoh kira-kira 35 bulan, susulan kadar pengumuman inflasi yang pada 1.9 peratus yang lebih rendah daripada jangkaan pada Ogos.

Pada 5 petang semalam, mata wang negara naik kepada 4.1470/4.1570 berbanding dolar AS daripada 4.2050/4.2110 ketika ditutup pada Isnin.

Kali terakhir ringgit mencapai 4.1470 berbanding dolar AS adalah pada 2 November 2021. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, inflasi yang lebih rendah dari jangkaan dan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS sebanyak 50 mata asas menjadi faktor utama mendorong pengukuhan nilai ringgit.

Katanya, jangkaan penurunan kadar faedah di AS akan mengecilkan perbezaan antara Fed Fund Rate dan Kadar Dasar Semalam (OPR). 

“Justeru situasi ini menunjukkan prospek pulangan pelaburan di Malaysia lebih menarik pada masa akan datang. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dilihat akan mengekalkan OPR disebabkan risiko inflasi masih lagi jelas kelihatan. 

“Perkara ini menunjukkan pihak BNM sentiasa berhemah dalam pengurusan dasar monetari mereka. Oleh itu, perkara ini seolah-olah mewujudkan minat belian terhadap mata wang ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, mungkin agak drastik untuk mencapai nilai RM4.00 berbanding dolar AS pada minggu ini, namun ringgit kini berada dalam hala tuju pengukuhan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka berlegar antara RM4.13 ke RM4.18 berbanding dolar AS minggu ini dengan sokongan para pengurus dana. 

“Sekiranya ada pemotongan lagi oleh Fed pada November nanti antara 25 atau 50 mata asas iaitu serentak dengan pilihan raya presiden AS yang baharu, nilai dolar AS dijangka terus menurun dan ia akan mendorong nilai ringgit mencecah RM4.00 pada akhir tahun nanti.

“Namun begitu, peningkatan ringgit perlu juga dikawal dari terlalu pantas kerana ia memberikan kesan yang kurang baik kepada eksport negara dan menjadikan sektor pelancongan tidak begitu menarik kepada pelancong luar negara. 

“Selain dari menjadikan barang eksport negara kurang kompetitif di pasaran global, ia juga mengurangkan jumlah tukaran kepada ringgit dari nilai eksport,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN