PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bersedia untuk beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030 melalui Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia.
Ini merupakan sebahagian daripada langkah mengurangkan jejak karbon, meningkatkan kelestarian alam serta mampu menjimatkan kos pengoperasian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, ketika ini, kumpulan mempunyai 143 van dan 200 skuter elektrik atau e-bike bagi Semenanjung Malaysia.
“Menjelang tahun depan, sebanyak 28 peratus daripada keseluruhan kenderaan akan bertukar kepada elektrik sebelum meningkat kepada 100 peratus menjelang 2030.
“Seiring dengan itu, Pos Malaysia menggunakan telematik sepenuhnya untuk meningkatkan keselamatan pemandu dan seterusnya mengurangkan pelepasan karbon.
“Di Malaysia, 100 peratus trak dan 37 peratus van dilengkapi dengan peranti telematik,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Beyond the Boardroom’ di sini, semalam.
Pelan Lestari tersebut bagi mencapai sasaran dekarbonisasinya dengan mensasarkan sifar karbon bersih untuk operasi mereka menjelang 2050.
Sasaran kelestarian ini menunjukkan komitmen Pos Malaysia untuk menyokong usaha global dalam mengekalkan pemanasan global di bawah 1.5 darjah celsius.
Sebagai penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Charles berkata, syarikat telah menggunakan panel solar sejak 2021 dan sehingga kini, syarikat mempunyai tiga tapak panel solar.
“Pos Malaysia kini menggunakan 16 panel dalam bangunan syarikat yang telah dapat mengurangkan 20 hingga 30 peratus penggunaan tenaga elektrik berbanding sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Charles turut mengulas mengenai inisiatif baharu pelancaran Laporan Pelepasan Karbon Pos Hijau yang membantu pelanggan Pos Malaysia untuk mengesan, mengukur dan menguruskan pelepasan karbon Skop 3 mereka.
“Inisiatif ini mampu menawarkan pandangan komprehensif serta keupayaan pengesanan yang mantap untuk memantau jejak karbon penghantaran mereka secara telus dan konsisten sekali gus menjadikan Pos Malaysia syarikat logistik pertama di Malaysia yang menyediakan laporan tersebut.
“Kami dijadual melancarkan Laporan Pelepasan Karbon Pos Hijau pada Disember ini, yang menjanjikan peningkatan dalam ketelusan dan lebih banyak sokongan terhadap amalan kelestarian dalam sektor logistik dan secara kritikal, untuk menyokong syarikat dalam usaha meningkatkan pelaporan dan komitmen terhadap penyampaian yang bersih dan hijau,” katanya. – UTUSAN










