Golongan belia, pesara kerajaan warga emas fokus Noorzunita

Golongan belia, pesara kerajaan warga emas fokus utama Noorzunita

NOORZUNITA Begum Mohd. Ibrahim bertemu pengundi DUN Pilah di Taman Desa Melang, Melang, Kuala Pilah, semalam.–UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pembangunan daerah ini jelas kelihatan sewaktu Pakatan Harapan (PH) mula mentadbir kerajaan Negeri Sembilan sejak 2018.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim memberitahu, sejak itu pembangunan daerah ini semakin pesat. Namun ia unik kerana selari dengan kehidupan di kawasan luar bandar.

“Kita dapat lihat pemba­ngunan di Kuala Pilah semakin pesat. Dataran Melang kini menjadi mercu tanda apabila ia telah menjadi tumpuan pengunjung yang berkunjung ke Kuala Pilah.

“Pada masa sama identiti kampung dan tradisi masyarakat masih dikekalkan. Kuala Pilah mempunyai keunikan tersendiri kerana pembangunan bandar berjalan seiring dengan kehidupan masyarakat luar bandar yang masih menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, katanya, pembinaan bangunan baharu Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah bernilai RM153 juta juga telah siap dan mula beroperasi sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di bangunan sedia ada.

Beliau berkata, projek menaik taraf Jalan Seremban-Kuala Pilah, kerja-kerja penurapan jalan kampung serta penyelenggaraan jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah meningkatkan kemudahan infrastruktur di daerah itu.

“Harapan saya, jika diberikan mandat sekali lagi, kita dapat meneruskan pembangunan Kuala Pilah demi kesejahteraan rakyat, selain memastikan daerah ini terus membangun dalam suasana aman, makmur dan bersatu padu,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzunita berkata, beliau ingin memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan golongan muda dan kebajikan warga emas selepas bersara jika diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

Katanya, antara fokus utama adalah mewujudkan lebih ba­nyak peluang pekerjaan supaya anak muda tidak perlu berhijrah ke daerah lain untuk mencari rezeki serta menjaga kebajikan pesara warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN