Calon BN dakwa Anthony Loke sibuk urus kementerian

Calon BN dakwa Anthony Loke sibuk urus kementerian

Siow Kong Choon beramah mesra dan menyantuni para penduduk di sekitar kawasan Pekan Titi Chennah, Jelebu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Tumpuan sepenuh masa terhadap kebajikan dan keperluan penduduk menjadi antara komitmen yang ditawarkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Siow Kong Choon.

Beliau mendakwa, tanggungjawab besar sebagai seorang menteri menyebabkan penyandang kerusi berkenaan iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Anthony Loke Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan, tidak dapat memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya kepada kawasan itu.

“Walaupun beliau mempunyai kuasa, peranan dan peruntukan sebagai seorang menteri, tanggungjawab besar yang dipikul menyebabkan beliau tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada kawasan Chennah.

“Kita memilih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ADUN itu kena jaga kawasan 24 jam. Seorang menteri mungkin bagus dengan tugasannya tetapi beliau tidak mampu menjaga tempat ini dengan sepenuh perhatian.

“Jadi, inilah peluang untuk seorang anak tempatan yang dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kawasan ini supaya anak tempatan menjaga tempat sendiri. Inilah yang kita bawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan berkata, kesibukan Anthony Loke menguruskan kementerian dan parti menyebabkan banyak urusan kawasan di Chennah diwakilkan kepada pasukannya.

“Beliau begitu sibuk dengan urusan kementerian dan urusan partinya sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan semua perkara di Chennah.

“Beliau mewakilkan urusan ini kepada pasukannya. Saya rasa ini amat tidak adil kepada rakyat di sini. Rakyat Chennah berhak mempunyai seorang ADUN tempatan yang boleh berkhidmat sepenuh masa untuk mereka,” katanya.

Mengulas mengenai perubahan sentimen pengundi Cina, Kong Choon berkata, terdapat perbezaan berbanding pilihan raya terdahulu apabila pengundi kini bukan lagi sekadar mahu mendengar janji.

Menurut beliau, mereka sebaliknya mahu melihat seorang wakil rakyat yang mudah ditemui, mudah dihubungi dan sentiasa turun padang menjaga kebajikan mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN