Tropicana perkenal SouthPlace 2 Shoppes seluas 35.61 hektar - Utusan Malaysia

Tropicana perkenal SouthPlace 2 Shoppes seluas 35.61 hektar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) memperkenalkan SouthPlace 2 Shoppes, destinasi peruncitan terbaharu dalam perbandaran bersepadu Tropicana Metropark seluas 35.61 hektar.

SouthPlace 2 Shoppes disasarkan siap pada Mac 2027 dan akan menjalani penilaian menerusi Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC), sejajar dengan komitmen Tropicana terhadap kualiti pembinaan serta penciptaan nilai jangka panjang.

Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan serta Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, syarikat itu terus melabur dalam pembangunan Tropicana Metropark sejak lebih 12 tahun lalu bagi membangunkan sebuah perbandaran dinamik dengan komponen kehidupan bersepadu.

Katanya, komponen itu merangkumi aspek kediaman, pekerjaan, rekreasi, pendidikan dan peruncitan.

“SouthPlace 2 Shoppes mewakili babak baharu dalam evolusi berterusan Tropicana Metropark.

“Pembangunan ini direka untuk melengkapi komuniti kediaman yang semakin berkembang, selain menawarkan lokasi komersial strategik kepada perniagaan dengan sokongan kawasan tangkapan sedia ada, akses mudah dan potensi pertumbuhan jangka panjang.

“Kejayaan pembukaan Mercato serta pertambahan rangkaian peruncit berpengalaman membuktikan daya tarikan komersial Tropicana Metropark yang kukuh, sekali gus membuka peluang kepada perniagaan untuk berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Terletak di lokasi strategik dalam segi tiga emas Subang Jaya, Shah Alam dan Glenmarie, SouthPlace 2 Shoppes mempunyai kawasan tangkapan sedia ada melebihi 26,000 penduduk.

Ia sekali gus menyediakan peluang pertumbuhan kepada perniagaan dalam komuniti yang matang serta mempunyai jaringan perhubungan baik.

Beliau berkata, SouthPlace 2 Shoppes menawarkan unit peruncitan fleksibel berkeluasan antara 562 kaki persegi hingga 3,266 kaki persegi, sesuai untuk perniagaan seperti peruncit gaya hidup, kafe, restoran dan penyedia perkhidmatan.

Menurutnya, pembangunan itu turut disokong kejayaan SouthPlace Residences yang telah terjual sepenuhnya serta SouthPlace 2 Residences dengan kadar pengambilan 80 peratus, selain akses mudah menerusi jambatan penghubung khas ke Lebuhraya Persekutuan.

“SouthPlace 2 Shoppes turut mendapat manfaat daripada kejayaan SouthPlace Shoppes bersebelahan yang telah membentuk ekosistem peruncitan dan gaya hidup dinamik, diterajui Mercato sebagai penyewa utama.

“Dengan keluasan 21,069 kaki persegi, Mercato menawarkan pelbagai pilihan produk tempatan dan antarabangsa, selain kemudahan kafe, bakeri, Euro Deli serta Uncle Jack Fried Chicken yang melengkapkan rangkaian perniagaan makanan, minuman dan perkhidmatan.

“Kehadiran penyewa berkualiti itu dijangka meningkatkan kemudahan kepada penduduk, menarik lebih ramai pengunjung serta mengukuhkan kedudukan Tropicana Metropark sebagai perbandaran bersepadu yang berkembang pesat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN