PETALING JAYA: Pertumbuhan pendapatan isi rumah di Malaysia lebih perlahan dalam tempoh pasca pandemik berbanding dekad sebelumnya, menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI).
Laporan The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022 (SoH 2024) mendedahkan, walaupun terdapat peningkatan dalam pendapatan isi rumah pada 2022, kadar pertumbuhannya adalah jauh lebih perlahan berbanding trend sebelum pandemik, selain masih berada di bawah jangkaan potensi.
“Pendapatan median adalah 12 peratus di bawah unjuran sebelum Covid-19, manakala purata pendapatan adalah 13 peratus lebih rendah, mencerminkan jurang ketara dalam fasa pemulihan pasca pandemik.
“Selain itu, jurang antara pendapatan purata dan median juga didapati kian meluas menunjukkan peningkatan ketidaksamaan pendapatan, di mana isi rumah berpendapatan tinggi mendapat lebih banyak manfaat berbanding yang berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan KRI, pendapatan isi rumah pada 2022 apabila disesuaikan dengan ketidaksamaan, berkembang pada kadar yang lebih perlahan dengan 18 daerah kebanyakannya dari Semenanjung Malaysia mengalami penurunan pendapatan serta peningkatan ketidaksamaan.
“Pertumbuhan pendapatan isi rumah yang disesuaikan dengan ketidaksamaan hanya meningkat sebanyak 7.9 peratus pada 2022 berbanding 12 peratus pada 2019 disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lebih rendah.
“Beberapa daerah menyaksikan penurunan dalam pendapatan isi rumah yang diselaraskan dengan ketidaksamaan pada 2022, manakala pemacu pertumbuhan didapati tidak bertabur pada magnitud tidak sekata, apabila diselaraskan dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah dan pekali Gini.
“Bagaimanapun, penggunaan pekali Gini secara tunggal dalam menilai ketidaksamaan tidak memberikan gambaran yang lengkap kerana terdapat negeri dan strata yang menunjukkan penurunan Gini tetapi peningkatan ketidaksamaan di bahagian akhir pengagihan pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, pendapatan boleh guna isi rumah telah menurun di semua peringkat desil pendapatan, dengan kesan yang lebih ketara dapat dilihat dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.
Katanya, isi rumah desil ke-10 terbawah mengalami penurunan pendapatan boleh guna sebanyak 108.2 peratus daripada RM200 pada 2019 kepada hanya RM16 pada 2022 (secara nominal).
“Trend ini diburukkan lagi oleh pengeluaran skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tempoh Covid-19, yang secara kolektifnya telah menyebabkan lebih 90 peratus ahli kumpulan wang persaraan di bawah umur 30 tahun tidak mempunyai simpanan asas yang mencukupi untuk persaraan,” katanya.-UTUSAN










