Pembeli rumah masih terbeban

Pembeli rumah masih terbeban

SEKTOR hartanah semakin rancak-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBELI rumah di Malaysia masih merasakan bebanan dan tidak mampu menikmati manfaat daripada lonjakan pasaran hartanah yang menunjukkan pertumbuhan ketara dalam enam bulan pertama tahun ini.

Meskipun pasaran hartanah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif, kebanyakan pembeli menghadapi cabaran dalam mendapatkan pembiayaan yang mencukupi. 

Dengan harga rumah yang semakin tinggi, ramai pembeli terpaksa berkompromi dalam pilihan lokasi atau jenis rumah yang ingin dibeli. Hal ini menyebabkan mereka terjebak dalam dilema antara keinginan untuk memiliki rumah sendiri dan realiti kewangan yang dihadapi. 

Situasi ini menunjukkan bahawa pertumbuhan pasaran hartanah tidak mencukupi jika tidak disertai dengan usaha untuk membantu pembeli mengatasi cabaran yang dihadapi.

Pekerja swasta, Mohamad Ikram Hafizi berkata, beliau mengharapkan pelaburan itu bukan sahaja akan memberikan tempat tinggal yang selesa untuk dirinya, tetapi juga akan memberikan pulangan yang baik apabila beliau memutuskan untuk menjualnya kelak.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi bahawa rumah ini akan menjadi aset yang akan meningkat nilainya dengan masa, namun keadaan sebenar yang saya hadapi sekarang jauh berbeza dari apa yang dibayangkan.

“Dengan pasaran hartanah yang melonjak ini, saya sepatutnya berasa gembira, tetapi sebaliknya, saya berasa lebih tertekan kerana perlu bekerja lebih keras untuk memastikan saya tidak terlepas sebarang pembayaran. 

“Kenaikan ini sepatutnya memberi manfaat kepada pembeli seperti saya, tetapi realitinya berbeza. Saya berharap kerajaan dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu kami yang masih berjuang dalam pasaran mencabar ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, semakin naik harga hartanah, semakin sukar bagi golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri dan ini menjadi tekanan. 

“Malah, bagi yang menyewa, harga sewa juga mungkin akan naik seiring dengan kenaikan harga hartanah. Bagi saya, kenaikan harga hartanah ini memberi tekanan untuk memiliki rumah sendiri kerana pendapatan tidak sepadan dengan kenaikan harga tersebut,” katanya.

Selain itu, pekerja swasta, Bakhtiar Abu Serar berkata, walaupun nilai rumah semakin meningkat, beliau tidak dapat menikmati manfaatnya kerana perlu menampung pelbagai kos. 

“Setiap bulan, saya terpaksa menyesuaikan bajet saya untuk memastikan saya dapat membayar ansuran pinjaman rumah. Selain itu, kos hidup yang semakin meningkat menjadikan ia semakin sukar untuk mengimbangi keperluan harian. 

“Saya berharap lebih banyak bantuan daripada pihak kerajaan dan institusi kewangan untuk memberi peluang kepada individu seperti saya untuk menikmati manfaat daripada pertumbuhan pasaran,” katanya.

Bakhtiar juga menjelaskan bahawa kenaikan harga barang yang semakin tinggi menyebabkan perbelanjaan berlebihan dan menyulitkan apabila sebahagian besar pendapatan terpaksa ditolak untuk bayaran bulanan rumah.

“Bantuan yang diberikan sepatutnya lebih fokus kepada golongan B40, seperti menyediakan bantuan kewangan tambahan serta pengurangan kadar faedah bulanan bagi meringankan beban mereka.

“Selain itu, perlu ada semakan semula terhadap kos penyelenggaraan yang kadang kala tidak masuk akal dan terlalu tinggi, sehinggakan dianggap sebagai ‘overpriced’.

“Lonjakan harga pasaran hartanah juga akan menyebabkan kadar purata pembelian rumah semakin menurun dan ini berisiko menghasilkan lambakan unit rumah yang tidak terjual,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Nur Fatin Atiqah Mohd Talha berkata, beliau telah merancang untuk membeli rumah, namun rancangannya terpaksa dibatalkan kerana harga rumah yang terlalu tinggi. 

“Saya melihat banyak rumah yang menarik dengan pelbagai kemudahan, tetapi harga yang ditawarkan tidak sepadan dengan pendapatan dan perlu berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

“Hal ini kerana membeli rumah adalah pelaburan besar yang memerlukan komitmen kewangan yang serius,” ujarnya.

Fatin Atiqah juga berkata, walaupun terdapat program bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan, seperti Skim Rumah Pertamaku, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar pembeli rumah seperti dirinya. 

“Saya percaya bahawa inisiatif tersebut bagus, tetapi ia tidak menangani semua isu yang kami hadapi. Sebagai contoh, bantuan kewangan yang diberikan tidak selalu mencukupi untuk menampung kenaikan kos hidup dan pelbagai perbelanjaan lain yang perlu ditanggung sebagai pembeli rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN