PETALING JAYA: Bursa Malaysia turun 6.41 mata kepada 1,670.24 pada pukul 5 petang hari ini, berbanding 1,676.65 pada penutup Selasa.
Indeks dibuka tinggi pada 1662.65.
Jumlah dagangan sebanyak 3.039 bilion unit bernilai RM2.889 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 813 berbanding 307 dengan 438 kaunter tidak berubah dan 883 tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dilihat merosot seiring dengan prestasi pasaran serantau.
“Data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah telah mendatangkan sentiment yang negatif disebabkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan di AS.
“Data indeks ISM bagi sektor pembuatan yang berada di paras 47.2 mata dilihat kekal dibawah nilai ambang 50 mata bagi lima bulan berturut yang menandakan bahawa sentimen dikalangan pengeluar sektor pembuatan adalah lemah.
“Perkara ini bakal memberi kesan kepada pasaran buruh yang mana pengeluar dilihat tidak berminat untuk menambah pekerja sewaktu ekonomi berada di fasa memperlahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, malam ini, para peserta pasaran akan memberi fokus kepada data pekerjaan seperti Jobs Opening and Labour Turnover Survey (JOLTS) bagi melihat permintaan buruh dikalangan firma dan peniaga di AS.
“Jangkaan berdasarkan konsensus adalah JOLTS bakal turun ke paras 8.1 juta bagi Julai berbanding bulan sebelumnya iaitu 8.184 juta dan angka telah pun mencecah paras puncak iaitu 12.182 juta pada Mac 2022.
“Justeru, pasaran buruh di AS dilihat telah lemah dan perkara ini akan memungkin pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 dan 18 September nanti,” katanya.-UTUSAN










