PASARAN hartanah di Malaysia menyaksikan lonjakan ketara, mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir dengan peningkatan ketara dalam bilangan transaksi dan nilai jualan serta berpotensi memecah rekod baharu yang akan dicapai tahun ini.
Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Institut Penilaian Negara (INSPEN), pasaran hartanah Malaysia mencatatkan prestasi menggalakkan dengan jumlah transaksi meningkat sebanyak lapan peratus kepada 198,906 transaksi dan nilai melonjak sebanyak 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion.
Bagaimanapun, di sebalik angka yang kelihatan menggalakkan, ramai rakyat, terutamanya golongan muda dan pembeli rumah kali pertama, tidak merasai manfaat langsung daripada lonjakan ini.
Persoalannya, adakah peningkatan dalam pasaran hartanah ini benar-benar memberi kesan positif kepada pembeli atau sekadar mencerminkan realiti ekonomi yang tidak sejajar dengan kehidupan sebenar rakyat yang masih bergelut untuk memiliki rumah sendiri.
Pakar hartanah, Ahyat Ishak berkata, bagi ramai pembeli, khususnya golongan muda dan pembeli rumah kali pertama, peningkatan ini tidak membawa sebarang manfaat yang jelas.
Jelasnya, masih ada golongan yang bimbang dan tidak merasakan manfaat langsung daripada kenaikan pasaran hartanah.
“Mereka masih berdepan dengan cabaran kewangan yang sukar, termasuk kos sara hidup yang meningkat, kadar inflasi yang tinggi, dan ketidakseimbangan antara kenaikan gaji dan harga rumah.
“Ramai pembeli masih beranggapan mereka perlu bersaing dengan pembeli luar negara dan pelabur, namun hakikatnya peratusan pembeli asing sangat kecil dan mereka tidak berminat dengan rumah (starter home) yang dicari oleh golongan muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahyat Ishak, ramai golongan belia turut berdepan kesukaran untuk memahami kelebihan yang diperoleh daripada lonjakan pasaran hartanah ini dan merasakan data yang diterbitkan tidak mencerminkan realiti sebenar yang sedang mereka hadapi.
“Meskipun statistik menunjukkan pertumbuhan positif, cabaran memiliki rumah kekal menjadi isu utama bagi golongan muda. Mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan, termasuk kos sara hidup yang tinggi dan kekurangan peluang pekerjaan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata, pemaju hartanah juga berdepan dengan cabaran tersendiri, walaupun statistik menunjukkan peningkatan transaksi.
“Kenaikan kos bahan binaan, peraturan yang semakin ketat dan kesukaran mendapatkan pinjaman adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Ahyat Ishak menjelaskan bahawa masih ramai keliru dengan istilah “lonjakan harga pasaran” dan tidak merasakan kesan positif, malah masih rasa tidak mampu membeli rumah walaupun pasaran hartanah dilaporkan semakin baik dan sebaliknya.
“Bercakap tentang pasaran hartanah, ada juga yang teruja kerana faktor perasaan positif atau ‘feel good’ sering dipengaruhi oleh data ekonomi yang baik. Apabila ekonomi meningkat, industri lain seperti pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembuatan turut mendapat manfaat.“
“Oleh itu, bila mana industri-industri ini menunjukkan prestasi yang baik, ia menambahkan lagi rasa positif terhadap pasaran hartanah, selain sektor eksport, pelaburan langsung asing (FDI), dan pelancongan yang juga menyumbang kepada keyakinan ini.
“Keadaan ini mungkin membuatkan kumpulan itu yang sebelum ini ragu-ragu tentang ekonomi mula lebih yakin untuk membeli rumah. Jika ada pengumuman menarik semasa Belanjawan 2025 nanti dan sekiranya kadar faedah kekal atau diturunkan, ia akan memberi dorongan tambahan kepada pembeli,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co International Sdn. Bhd., Sr. Sulaiman Saheh, menyatakan bahawa meskipun pasaran hartanah pada tahun ini menunjukkan peningkatan, sentimen pasaran masih berhati-hati.
“Pembeli masih bimbang tentang kemampuan memiliki hartanah kerana harga terus meningkat. Kos hidup yang semakin tinggi tanpa tanda-tanda akan berkurangan menyebabkan pembeli lebih berwaspada,” katanya.
“Statistik juga menunjukkan semua sektor utama dalam pasaran hartanah seperti komersial, perindustrian, dan kediaman, turut mengalami peningkatan,” katanya.
“Bagaimanapun, kenaikan harga hartanah tidak secepat seperti dahulu. Biarpun bilangan transaksi meningkat, kadar kenaikan harga rumah semakin perlahan. Pembeli kini lebih berhati-hati kerana tekanan kos hidup dan ini mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada data Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menunjukkan indeks sentimen pengguna dan indeks keadaan perniagaan masih di bawah paras 100 mata.
“Ini menggambarkan sikap berhati-hati yang berterusan di kalangan pembeli dan pelabur. Walaupun terdapat peningkatan dalam pelaburan asing, manfaatnya masih belum dirasai sepenuhnya oleh rakyat biasa. Keadaan ekonomi global turut memberi kesan kepada Malaysia,” katanya.
Tambahnya, ramai individu merasakan pendapatan mereka masih tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.
“Ramai yang kurang optimis untuk melabur dalam hartanah, walaupun sektor korporat dan institusi kewangan menunjukkan perkembangan positif disebabkan kos barang keperluan seperti makanan dan minyak terus meningkat menambah kebimbangan pembeli,” katanya.-UTUSAN










