PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) ingin mengingatkan orang ramai berwaspada terhadap peningkatan kes penipuan dan digesa berhati-hati terhadap skim pelaburan mencurigakan, terutamanya yang menawarkan pulangan pelaburan yang kelihatan menarik.
Menurut kenyataannya, laporan media terkini menunjukan skim pelaburan Forex yang telah didakwa menipu kira-kira 400 individu dengan kerugian sekitar RM100 juta.
“Ini menekankan keperluan untuk kesedaran yang lebih tinggi dan ketelitian sebelum membuat keputusan pelaburan.
“Oleh itu, pelabur dinasihatkan supaya menyemak kesahihan skim yang menawarkan peluang pelaburan atau pulangan yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai.
“Labuan FSA juga menasihatkan semua pelabur supaya menjalankan ketelitian sewajarnya dan kerap melawati laman web kami untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai Senarai Amaran Pelabur dan Pemberitahuan Sekatan Perniagaan, sebelum membuat sebarang keputusan kewangan,” katanya.
Jelasnya, Labuan FSA komited menjaga integriti Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
“Sebagai pihak berkuasa pusat dalam pengawalseliaan, penyeliaan dan penguatkuasaan, Labuan FSA diberi kuasa sepenuhnya untuk mengawasi industri perniagaan antarabangsa dan perkhidmatan kewangan di Labuan.
“Labuan FSA akan terus mengawasi ekosistem kewangan di Labuan dan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan garis panduan dikendalikan terhadap mana-mana individu dan entiti di sini tanpa kompromi.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil sebelum ini berbeza mengikut jenis pelanggaran, termasuk pengenaan denda dalam bentuk kompaun atau denda pentadbiran, sekatan perniagaan, pembatalan lesen dan pemecatan pegawai yang tidak layak dan tidak sesuai dalam entiti di Labuan.
“Pendekatan ini akan diteruskan untuk memastikan pematuhan dan mengekalkan piawaian pengawalseliaan antarabangsa, dengan penyesuaian yang dibuat mengikut keperluan untuk sejajar dengan penanda aras global yang berkembang,” ujarnya.
Labuan FSA berkata, pihaknya menerbitkan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil setakat ini di laman web mereka.
“Notis awam ini bertujuan mengukuhkan kesan pencegahan tindakan penguatkuasaan dan meningkatkan keyakinan dalam sistem kewangan di Labuan IBFC.
“Secara selari, Labuan FSA telah secara signifikan memperhebat usaha penyeliaannya dalam memantau dan mengawal selia entiti yang beroperasi dalam Labuan IBFC.
“Langkah-langkah ini termasuk peningkatan pemeriksaan di lokasi, peningkatan keperluan pelaporan dan usaha kolaboratif dengan pihak berkuasa lain.
“Usaha penyeliaan yang diperhebat ini untuk mengukuhkan daya tahan dan integriti Labuan IBFC serta melindungi kepentingan para pemegang kepentingan,” katanya.-UTUSAN










