Kuala Lumpur catat pendaftaran EV paling tinggi

Kuala Lumpur catat pendaftaran EV paling tinggi

PENDAFTARAN kereta EV di negara ini meningkat sebanyak 142 peratus tahun ke tahun kepada 10,663 kereta elektrik sepenuhnya pada separuh pertama 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur mendahului pendaftaran kenderaan elektrik (EV) antara 2021 dan Jun 2024 sebanyak 5,271 pendaftaran, menurut kenyataan perkembangan semasa mobiliti elektrik di Malaysia.

BMW Group Malaysia dan Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar Malaysia (MyZEVA) berkata, bilangan EV yang didaftarkan adalah signifikan di beberapa negeri yang diikuti oleh Selangor dengan 1,544 pendaftaran.

Katanya, negeri-negeri lain yang merekodkan bilangan pendaftaran yang tinggi termasuk Johor dengan 657, Pulau Pinang (351), Sabah (326) dan Sarawak (268).

“Kebanyakan pendaftaran juga dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi Rakan Niaga Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Daripada 27,382 pendaftaran di seluruh Malaysia pada Jun 2024, sebanyak 17,244 pendaftaran dilakukan secara dalam talian.

“Pertumbuhan ini memperlihatkan jangkauan mobiliti elektrik yang semakin meluas ke seluruh negara, apabila lebih ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira negeri menerima baik manfaat pemilikan EV,” katanya.

Tambahnya, perkembangan ini sejajar dengan peningkatan kapasiti jarak untuk EV moden yang membolehkan ramai rakyat Malaysia melakukan perjalanan rentas negeri dengan yakin dan tenang menggunakan EV mereka.

BMW Group Malaysia dan MyZEVA berkata, seiring dengan peningkatan pemilikan EV di Malaysia, bilangan lokasi pengecasan awam juga telah meningkat secara mendadak untuk memenuhi keperluan pengecasan pemilik EV.

“Ini sekali gus memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan yang lebih jauh dengan EV mereka.

“Rangkaian stesen pengecasan yang semakin berkembang, baik di kawasan bandar mahupun di sepanjang lebuh raya, merupakan faktor penting dalam menyokong peralihan negara ke arah mobiliti elektrik,” ujarnya.

Katanya, setakat Jun 2024, data daripada MEVnet oleh PLANMalaysia dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) menunjukkan terdapat 2,606 lokasi pengecasan awam tersedia di seluruh Malaysia.

“Walaupun pengecasan di rumah kekal sebagai pilihan utama bagi kebanyakan pemilik EV, pengembangan infrastruktur pengecasan awam yang pesat telah meningkatkan kemudahan memandu EV untuk perjalanan yang lebih jauh.

“Pertumbuhan ini dijangka akan berterusan dalam beberapa tahun akan datang, sekali gus menyokong peralihan kepada mobiliti elektrik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN