PETALING JAYA: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengumumkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pengagihan dividen sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Pengagihan ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM108.85 juta yang memberi manfaat kepada semua anggota koperasi yang berjumlah lebih 255,000 anggota.
Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris mengucapkan penghargaan terhadap SKM atas pertimbangan yang bijaksana dan bantuan yang diberikan sepanjang proses ini.
Katanya, kerjasama yang erat dengan SKM membolehkan KPF melaksanakan pengagihan dividen ini dengan lancar dan berkesan.
“Banyak proses dan peringkat yang telah dilalui untuk memastikan kepatuhan terhadap prosedur yang ditetapkan dan dengan bimbingan serta kerjasama yang diberikan oleh SKM, kami berjaya melaksanakan tugas ini dengan lancar dan berkesan.
“Pengurusan KPF juga wajar dipuji atas dedikasi mereka dalam menyediakan semua dokumentasi yang diperlukan, memastikan setiap langkah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh SKM,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Banuri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Felda dan FGV Holdings Bhd (FGV) dalam membantu KPF memastikan kesejahteraan peneroka, warga dan kakitangan terjamin.
Menurutnya, kerjasama erat antara KPF, Kumpulan Felda dan Kumpulan FGV menjadikan KPF terus berazam untuk memperkukuhkan kedudukan kewangannya demi manfaat bersama.
“KPF optimis bahawa dengan sokongan padu dari semua pihak, KPF akan terus maju dan berkembang, seterusnya memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh warga Felda.
“Kami berharap agar semua anggota terus memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh KPF. Koperasi ini akan kekal kukuh dan mampu menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan dengan kerjasama dan semangat kesatuan yang berterusan daripada semua pihak.
“Rata-rata pemegang saham meluahkan rasa syukur dan lega dengan pengumuman dividen ini,” ujarnya.-UTUSAN










