JOHOR BAHRU: Johor merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM753 bilion melibatkan import dan eksport sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, jumlah itu merupakan 29 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan direkodkan di negara ini.
“Pencapaian ini bukan statistik semata-mata, sebaliknya adalah bukti kepentingan Johor dan peranan penting yang dimainkan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Jumlah perdagangan sebanyak RM753 bilion itu melibatkan sektor eksport sebanyak RM414 bilion, manakala sektor import sebanyak RM39 bilion.
“Johor komited mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan juga pelaburan. Sehubungan itu, kami berterusan menambah baik infrastruktur dan memudah proses perundangan,” katanya selepas merasmikan Kilang Greif Malaysia di Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Greif, Ole Rosgaard dan Ketua Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris.
Ting Han turut memberitahu, pelaksanaan inisiatif ekonomi berimpak tinggi, iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan menambah lagi nilai komersial sektor pelaburan di negeri ini.
“Kerjasama unik antara Malaysia menerusi Johor dengan Singapura bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi, inovasi serta dagangan rentas sempadan kedua-dua negara.
“Saya percaya inisiatif ini akan turut beri manfaat kepada pelaburan asing yang menjalankan perniagaan di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ting Han turut memaklumkan, syarikat pembungkusan Greif yang berpengkalan di Amerika Syarikat telah membuat pelaburan hampir RM50 juta di Pasir Gudang.
“Pelaburan jangka masa panjang ini juga bakal menyediakan sebanyak 150 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan,” katanya.-UTUSAN










