Jangkaan penurunan kadar faedah AS, perkukuh nilai ringgit

Jangkaan penurunan kadar faedah AS, perkukuh nilai ringgit dan pelaburan

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat bakal memberikan kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa Fed AS berkemungkinan menurunkan kadar faedahnya antara 25 hingga 50 mata asas pada minggu ini.

“Jangkaan ini berdasarkan penurunan inflasi di AS dan tanda-tanda kelembapan dalam pasaran buruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa Fed AS kini berkemungkinan mengalihkan fokus daripada mengawal inflasi kepada menjaga pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, jika kadar faedah AS diturunkan, jurang antara Federal Fund Rate (FFR) dan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia akan mengecil.

“Pada masa ini, FFR berada pada 5.50 peratus, manakala OPR pada 3.00 peratus, dengan perbezaan 2.50 peratus yang dijangka menyusut.

“Ini menjadikan prospek pulangan pelaburan di Malaysia lebih kompetitif,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, nilai ringgit berbanding dolar AS masih dianggap terkurang nilai.

“Sejak 21 Julai 2005 hingga kini, purata nilai ringgit berada pada RM3.78. Ini bermaksud potensi ringgit untuk terus kekal meningkat masih jelas kelihatan dan ia akan menarik minat belian dalam kalangan para pelabur asing disebabkan kestabilan politik,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih reformis akan meningkatkan daya saing ekonomi negara dan berpotensi mendorong kenaikan nilai ringgit serta harga saham di Bursa Malaysia.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, terdapat jangkaan umum bahawa panel penetapan kadar yang dipimpin oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell akan menurunkan kadar faedah utama buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun.

“Impak pergerakan kadar faedah terhadap prestasi bursa dan nilai ringgit boleh dikatakan agak ketara.

“Sebagai contoh, pada 2023, apabila Fed menaikkan kadar faedah, ringgit Malaysia menyusut kepada lebih dari RM4.60 berbanding dolar AS yang merupakan salah satu tahap paling rendah sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Pada masa yang sama, bursa negara turut mengalami penurunan dalam indeks utama seperti FBM KLCI, menandakan kesan negatif terhadap pasaran ekuiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata, jika Fed AS memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah semasa, kesannya mungkin agak neutral terhadap bursa Malaysia.

“Ini kerana, pelabur sudah mengambil kira keputusan ini dalam jangkaan mereka, namun sekiranya kadar faedah dikekalkan, ia menunjukkan bahawa Fed AS berpendapat ekonomi AS berada pada tahap yang stabil tanpa keperluan untuk pelarasan kadar faedah.

“Ia turut boleh memberikan isyarat positif kepada pasaran, termasuk Bursa Malaysia, dengan pelabur lebih yakin bahawa tiada risiko besar seperti kemelesetan segera.

“Bagaimanapun, impaknya mungkin sedikit neutral kerana ia sudah dijangkakan oleh kebanyakan pasaran, namun pengekalan kadar faedah AS pada tahap tinggi ini akan mengekalkan tekanan terhadap nilai ringgit.

“Dalam jangka masa pendek, ini boleh menyebabkan ringgit terus tertekan berbanding dolar, manakala bursa mungkin tidak menunjukkan perubahan ketara, melainkan terdapat faktor lain yang mempengaruhi pasaran domestik,” ujarnya

Tambahnya, bagaimanapun, pemotongan kadar oleh Fed AS akan mengurangkan kekuatan dolar AS dan membantu menguatkan ringgit.

“Pemotongan kadar faedah AS boleh membantu meningkatkan nilai mata wang tempatan kerana perbezaan kadar faedah yang akan memihak kepada ringgit.

“Dengan pulangan yang lebih rendah di AS, pelabur asing mungkin mencari aset dengan pulangan lebih tinggi di Malaysia, yang dapat meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

“Berdasarkan jangkaan ekonomi domestik yang kukuh, ringgit boleh naik kepada RM4.20 hingga RM4.25 menjelang hujung 2024 jika pemotongan kadar ini berterusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×