PETALING JAYA: Inflasi Malaysia pada Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.
Peningkatan inflasi pada Ogos didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 3.2 peratus.
Selain itu, ia turut didorong oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.1 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).
Kumpulan utama lain merekodkan kenaikan di bawah kadar inflasi keseluruhan 1.9 peratus, namun pakaian dan kasut masih berada dalam kekal pada negatif 0.2 peratus pada Ogos 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan mereda disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus (Julai 2024: 4.3 peratus).
Katanya, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama direkodkan pada Julai 2024.
“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus (Julai 2024: 0.3 peratus) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus (Julai 2024: 2.9 peratus).
“Namun, sebanyak 12 jenis sayur-sayuran merekodkan penurunan adalah tomato, timun dan salad. Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -1.1 peratus).
“Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6 peratus) dalam kelas perbelanjaan daging telah merekodkan negatif 2.2 peratus (Julai 2024: -2.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan pengumpulan data, Mohd. Uzir berkata, purata harga ayam standard Malaysia pada Ogos 2024 adalah RM10.15 sekilogram berbanding RM10.21 sekilogram pada Ogos 2023 (Julai 2024: RM10.35).
Sementara itu, katanya, purata harga ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia pada Ogos 2024 adalah RM9.27 sekilogram berbanding RM9.52 sekilogram pada Ogos 2023 (Julai 2024: RM9.53).
“Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain dan telur juga mencatatkan peningkatan 0.1 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -0.2 peratus).
“Antara subkelas perbelanjaan yang mendorong kepada kenaikan ini adalah lain-lain susu dan krim yang meningkat 1.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2024.
“Dalam pada itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat 3.1 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya,” ujarnya.
Tambah beliau, antara item yang merekodkan peningkatan pada Ogos 2024 ialah adalah nasi putih, makanan berasaskan mi dan nasi goreng.
Selain itu, beliau berkata, inflasi pengangkutan meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2024 berbanding 1.2 peratus pada Julai 2024.
“Peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.8 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: 1.8 peratus). Antara item yang merekodkan kenaikan ialah diesel dan petrol tanpa plumbum RON97.
“Pada Ogos 2024, purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM3.27 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Ogos 2023 (Julai 2024: RM3.35/liter), manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan harga kekal pada RM2.15 seliter.
“Di samping itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.37 seliter pada Ogos 2023 (Julai 2024: RM3.47/liter),” jelasnya.
Ujarnya, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9 peratus.
“Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Pahang (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus) dan Selangor (2.3 peratus). Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan dan minuman.
“Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 2.8 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Pahang (1.9 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8 peratus) dan Terengganu (1.6 peratus).
“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 1.6 peratus pada Ogos 2024,” ujarnya. – UTUSAN










